Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: Peluang Baharu Si Gelung

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jika anda sedang mencari sebuah buku kanak-kanak tentang kitar tinggi yang disampaikan secara kreatif sekali gus memupuk sifat empati, buku “Peluang Baharu Si Gelung” adalah jawapannya.

Jalan cerita buku ini mampu membuat hati pembaca berdetik memikirkan tentang nasib watak utama. Unsur saspens yang terkandung di dalamnya juga pasti menjentik perasaan kita.

Kanak-kanak pasti dapat mengenali watak utama buku ini iaitu Si Gelung, segelung tisu tandas. Si Gelung merupakan sebuah objek yang mereka lihat hampir setiap hari.

Menerusi penerapan teknik personifikasi, kanak-kanak dapat menyelami hati Si Gelung yang mengalami pelbagai perasaan seperti bangga, sedih, takut, kecewa dan bahagia.

Menerusi cara ini, penulis cuba memupuk sifat empati dalam diri kanak-kanak dan mengajak mereka untuk memikirkan tentang apa yang mereka manfaatkan barang-barang terpakai tanpa membuangnya ke dalam tong sampah. Pengakhiran cerita ini membuktikan bahawa barang-barang terpakai boleh dikitar tinggi untuk dijadikan rekaan baharu yang berguna.

Watak Si Gelung juga menggalak kanak-kanak untuk menjauhi sifat individualistik. Mereka dianjurkan memikirkan tentang bagaimana mereka dapat menyumbang kepada masyarakat dan orang di sekeliling mereka.

Si Gelung disifatkan sebagai watak yang sangat bangga dengan tugas menyediakan tisu kepada ahli keluarga di dalam rumah. Apabila tisunya kehabisan, dia berasa sedih kerana tidak dapat berkhidmat kepada keluarga itu lagi. Kesedihannya bertambah apabila diberitahu oleh rakannya, Si Tiub, bahawa mereka akan dihantar ke loji kitar semula.

Walau bagaimanapun, kekhuatiran yang dia rasakan hilang apabila dirinya diubah menjadi alat permainan yang digunakan oleh kanak-kanak di sekolah. Dengan cara begini, Si Gelung masih dapat berkhidmat untuk manusia.

Kanak-kanak yang membaca buku ini secara tidak langsung digalakkan untuk berfikir secara kreatif dalam menyokong usaha kemampanan kolektif Singapura.

Kebanyakan barang terpakai sebenarnya boleh diubah menjadi ciptaan baharu yang lebih berguna. Jika masyarakat kerap mengamalkan budaya kitar tinggi, kita boleh mengurangkan perbelanjaan dan pembaziran sekali gus mengelakkan pemikiran konsumerisme dan sikap materialistik.

Tabiat mengitar tinggi juga menyumbang kepada matlamat negara untuk menjadi negara yang sifar sisa.

Ringkasnya, “Peluang Baharu Si Gelung” merupakan sebuah buku yang sarat dengan nilai pembelajaran yang sesuai dimanfaatkan para pendidik, ibu bapa, masyarakat bahkan pelbagai kumpulan aktivis yang menjuarai usaha mendidik kanak-kanak tentang kemampanan, berfikiran kreatif and inovatif.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Peluang Baharu Si Gelung
Penulis: Sophia Huang (diterjemahkan oleh Nur-El-Hudaa Jaffar)
Nombor Panggilan: J SING HUA
Penerbit: Singapura: Pustaka Nasional, 2023
Pengulas: Nur Fitri Muhammad Syafran, Pustakawan, NLB
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan