ePustaka: “Patah Untuk Tumbuh” himpunkan renungan, nasihat bagi galak pembaca dakapi erti bahagia

(Gambar: NLB)
BERITAmediacorp: Judul buku ini menjelaskan kandungannya. “Patah Untuk Tumbuh” memberikan gambaran tentang keperluan semula jadi insan untuk menghadapi cabaran dan dugaan sebagai proses mengenali Pencipta dan sekali gus kekuatan dirinya.
Dihasilkan oleh seorang isteri dan pendidik, setelah didorong kesukaran kehidupan ketika COVID-19 melanda, buku ini menghimpunkan kata-kata renungan dan nasihat ringkas untuk mengajak pembaca berfikir tentang hikmah ujian yang sedang dilalui dan memanfaatkannya bagi mencipta hari muka yang lebih bermakna dan bahagia.
Melalui pelbagai catatan ringkasnya, penulis mengajak pembaca berdamai dengan diri sendiri, menerima segala kekuatan dan kelemahan sedia ada.
Hakikatnya, kita tetap makhluk Tuhan yang sempurna dalam ketidaksempurnaan.
Setiap insan dikurniakan potensi dan kekuatan tersendiri. Anjuran sering “bercermin diri” menjadikan kita bijaksana dalam menghadapi kehidupan menurut kemampuan agar terhindar daripada kesulitan.
Pembaca juga dianjurkan untuk menjadi versi dirinya yang terbaik dengan segala kekuatan dan pesona yang ada pada kita.
Sifat bersyukur turut ditekankan penulis dan ini dikaitkan langsung dengan kebahagiaan.
Dunia bukanlah syurga yang berciri sempurna. Tidak semua kemahuan kita mungkin diperolehi di sini. Akurlah dengan rezeki kurniaan Ilahi.
Jauhilah sikap membanding-bandingkan nikmat milik sesama manusia. Kita akan tenang dan bahagia dengan mengenali sifat-sifat Tuhan yang Maha Bijaksana.
Susunan kandungan yang terbahagi kepada 45 bab kecil memudahkan pembaca menekuni kandungannya secara berturutan mahupun bebas memilih yang mana disukai kerana setiap pengisian bab boleh berdiri sendiri.
Maka itu, buku ini sesuai dijadikan teman perjalanan dalam pengangkutan awam ketika berulang-alik ke pejabat, semasa menjamu santapan petang ataupun tatkala terpukau dengan keindahan laut dan pulau.
Sebagai rumusan, kandungan buku ini dapat membantu pembaca mendakap erti bahagia yang merupakan hak setiap manusia. Pemilikan kebahagiaan merupakan suatu perjalanan. Semakin dekat diri kepada Tuhan, semakin manis lagi nikmatnya dirasakan.
Lungsurilah laman katalog NLB, https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan awam.
Tajuk: Patah Untuk Tumbuh
Penulis/Pelukis: Faraa Musa
Penerbit: Kuala Lumpur: WhiteCoat Group, 2022
Nombor Panggilan: Malay 158.1 FAR
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.