ePustaka: Nur Medina 2: Himpunan Cerpen Berdasarkan Kisah Benar
Kumpulan cerpen “Nur Medina 2” yang merupakan kesinambungan daripada “Nur Medina” (terbitan 2012), menghimpunkan 15 buah cerpen berdasarkan kisah benar yang menggugah emosi serta mencerminkan realiti kehidupan.

(Gambar: Mediacorp)
Semua karya yang dihimpunkan pendek dan mudah dihadam pembaca, menjadikan buku ini satu bacaan ringan namun sarat dengan nilai pengajaran.
Seperti buku pertama, setiap cerpen di dalam buku kedua ini dimulakan dengan nama Nur, simbolik kepada cahaya yang menyinari pemaknaan di sebalik segala dugaan yang dialami watak-watak dalam penceritaan penulisnya, Mohd Ikhlash Abdullah.
Gaya bahasa cerpen-cerpen ini ringkas, memudahkan pembaca memahami mesej utama dan persoalan yang hendak diketengahkan. Walaupun teknik penulisan ini mungkin memperlihatkan sesetengah watak seperti satu dimensi, namun pendekatan ini membolehkan pembaca menumpukan perhatian kepada nilai dan iktibar yang ingin disampaikan.
Antara cerpen yang menonjol ialah “Nur Nuwarrah”. Ia mengisahkan tentang Hafiez, pekerja di rumah tumpangan orang tua, yang menjaga Puan Ema, seorang pesakit strok yang ditinggalkan keluarganya. Pada waktu yang sama, Hafiez mengikuti Kryla, seorang pempengaruh yang berkongsi pandangan tentang tanggungjawab anak terhadap ibu bapa.
Rupa-rupanya, identiti Kryla berkait rapat dengan rumah tumpangan tempat dia bekerja. Penemuan ini memaksanya menilai semula persepsi tentang buruk dan baik, sekali gus menyedarkan pembaca bahawa tidak semua keadaan boleh dinilai secara “hitam putih” kerana di sebalik setiap ketentuan, ada cerita yang lebih mendalam daripada apa yang terlihat di permukaannya.
Dalam “Nur Qamar” pula, Puan Pek, seorang tukang cuci di sebuah firma swasta, tidak disenangi kerana tabiatnya yang suka mengumumkan mengenai kebersihan stor setiap hari. Walaupun dipandang sepi, dia tetap menjalankan tugas dengan disiplin selama lebih sedekad. Namun, apabila seorang pekerja hamil menggunakan stor itu untuk berehat, satu insiden malang membuka mata semua pekerja terhadap tujuan sebenar pengumuman Puan Pek.
Kisah ini mengingatkan kita agar tidak cepat menilai seseorang. Bahkan, pembaca diingatkan bahawa sifat prihatin dimiliki semua orang merentas bangsa mahupun agama.
Sesuatu yang dianggap remeh atau kecil oleh kita mungkin amat berharga dan bermakna kepada orang lain. Begitulah ringkasan kisah “Nur Delima”. Watak utama, Ahmad, telah menjumpai seutas rantai emas. Dia cuba mencari pemiliknya menerusi media sosial tetapi gagal, lalu memutuskan untuk mendermakannya ke masjid. Namun, saiz rantai yang besar memaksanya menyerahkan secara langsung kepada pegawai masjid, yang secara tidak disangka-sangka membawa kepada pertemuan pemilik asal rantai itu.
Kisah ini mengingatkan kita akan kepentingan sifat amanah dan tanggungjawab dalam menjaga hak orang lain kerana sesuatu yang kelihatan kecil bagi kita mungkin amat bermakna bagi seseorang.
Secara keseluruhannya, “Nur Medina 2” menawarkan bacaan berbentuk teladan dengan penekanan kepada nilai moral dan pengajaran. Dengan mesej yang jelas dan mendalam, kumpulan cerpen ini pasti menawarkan pengalaman membaca yang bermakna kepada para pembacanya.
Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.
Tajuk: Nur Medina 2: Himpunan Cerpen Berdasarkan Kisah Benar
Penulis: Mohd Ikhlash Abdullah
Nombor Panggilan: ADULT SING MOH
Penerbit: Singapura: Lab Penulis Pte Ltd, 2024.
Pengulas: Nur Eliqah Ali, Pustakawan, NLB
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.