Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Mudahnya Menanam Herba dan Sayuran Berdaun di Rumah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buku panduan ini sesuai dimanfaatkan oleh sesiapa yang ingin mempelajari kaedah penanaman dan penjagaan herba serta sayuran berdaun di ruangan terhad seperti tempat tinggal yang tidak mempunyai kawasan bertanah untuk bercucuk tanam.

Kedua-dua pengarang buku ini, Dr. Norhidayah Che Soh dan Dr. Ramisah Mohd Shah, ialah pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu dan mempunyai minat yang mendalam terhadap tumbuh-tumbuhan.

Mereka telah memilih 25 spesies tanaman yang mudah ditanam untuk dikongsikan di dalam buku panduan ini. Penerangan tentang peralatan asas dan bahan-bahan yang diperlukan untuk bercucuk tanam di rumah turut diberikan.

Bagi setiap tanaman, mereka telah menyediakan maklumat tentang kaedah atau cara penanamannya sama ada daripada biji benih mahupun daripada potongan tanaman seperti batang atau akar.

Kaedah penjagaan tanaman termasuk maklumat tentang kekerapan siraman air dan cara untuk mengawal serangga perosak atau penyakit yang biasa menyerang jenis tanaman itu dijelaskan.

Hampir seratus gambar rujukan turut disertakan di dalam panduan ini agar pembaca lebih jelas pemahamannya tentang proses penanaman dan penjagaan tanam-tanaman ini. Contohnya, gambar-gambar tersebut menunjukkan rupa biji benih yang sihat, rupa tanaman pada peringkat kecil (anak pokok) dan apabila ia sudah dewasa setelah tumbuh selama beberapa bulan.

Buku panduan ini terbahagi kepada dua bahagian.

Bahagian pertama menghimpunkan maklumat tentang 21 jenis tanaman termasuk herba yang sering digunakan dalam masakan lauk-pauk tempatan seperti kunyit, halia, serai dan kesum ataupun dimakan mentah sebagai ulam seperti pegaga, sambung nyawa dan ulam raja.

Bahagian kedua pula mengenai sayuran berdaun. Terdapat hanya empat jenis tanaman di bahagian ini iaitu kangkung, bayam merah dan hijau, sawi/kailan dan daun bawang.

Mudah-mudahan buku panduan ini dapat membantu anda memperolehi hasil tanaman yang bukan hanya segar dan enak dimakan tetapi juga menjimatkan wang apabila dituai berulang kali. Selamat mencuba!

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Mudahnya Menanam Herba dan Sayuran Berdaun di Rumah
Penulis: Norhidayah Che Soh dan Ramisah Mohd Shah
Penerbit: Penerbit UMT, Universiti Malaysia Terengganu, 2024
Nombor Panggilan: Malay 635.09595 NOR
Pengulas: Toffa Abdul Wahed, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita