Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Misteri Perkhemahan - Mencari Keberanian Tidur Di Hutan!

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Misteri Perkhemahan - Mencari Keberanian Tidur Di Hutan!

Buku 'Misteri Perkhemahan: Mencari Keberanian Tidur Di Hutan!'. (Gambar: NLB)

Diterbitkan : 26 Sep 2026 03:03PM Dikemas Kini : 26 Sep 2026 03:05PM
ePustaka: Camping Mysteries: Finding the Courage to Sleep in the Forest!
  • This article reviews the anthology “Camping Mysteries: Finding the Courage to Sleep in the Forest!”, by Najib Alias and Blinkstar Writers, published by Blink Book in 2023.
  • It features five camping-themed horror stories, including Juliana’s experience of being disturbed by “Sally” through TikTok and four friends who recite a chant to see ghosts.
  • “Belief” explores a moral dilemma when a company uses zombie and pontianak clones to “clean up” troubled students, including the creator’s own child.
  • The book also includes Najib Alias’ frightening experiences and camping tips, with borrowing information available through NLB’s library catalogue.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Jika anda seorang remaja yang bakal mengikuti perkhemahan dalam masa terdekat, antologi kisah seram dan misteri ini mungkin baik dijauhi.

Lima buah kisah yang dihimpunkan di dalamnya mampu mengusik diri daripada berasa gembira tika menjalani program perkhemahan nanti.

Cerita Juliana yang ketagih melungsuri laman media sosial dalam “Mari Berbual?” pasti menyentap perasaan pembaca. Beliau yang seharusnya berinteraksi dengan rakan-rakan seperkhemahan, memilih untuk menghabiskan masa terluang bermain dengan telefon bimbitnya.

Teguran rakan-rakannya tidak dipedulikan. Waktu tidur juga tidak diendahkan.

Sekitar tengah malam, beliau menerima mesej di aplikasi TikTok daripada seorang gadis tidak dikenali bernama Sally yang mengatakan bahawa beliau juga seorang peserta muda dalam perkhemahan yang sama.

Oleh kerana akaun Sally tiada gambar profil, Juliana menjangkakan ia satu helah atau perbuatan sengaja mengusiknya.

Permintaan Juliana untuk Sally menunjukkan fotonya mendapat jawapan yang meremangkan bulu roma. Terpampang di skrin telefon bimbit Juliana, satu makhluk seperti perempuan berambut panjang serta kulit muka yang sudah mereput!

Tambah mengerikan lagi, gambar itu diambil betul-betul di luar khemah Juliana!

Pengalaman menyeramkan ini mengubah sikap Juliana terhadap penglibatannya semasa perkhemahan.

Namun begitu, kisah di sebalik punca kemunculan “Sally” merungkai sebuah rahsia lebih memeranjatkan di luar dugaan pembaca!

Karya “Mantera” pula mengisahkan tentang empat orang rakan, Lia, Shima, Mei dan Meena yang terpilih untuk menyertai satu perkhemahan yang bertujuan membina jati diri remaja.

Pada malam harinya, Lia mengajak rakan-rakan sekhemahnya cuba membaca mantera yang membolehkan mereka nampak hantu.

Selepas mereka membaca mantera itu, Lia, Shima dan Meena telah ke tandas di mana mereka ternampak tiga makhluk mengerikan yang mengilai secara berkumpulan.

Mei, yang tinggal seorang diri di dalam khemah turut diganggu makhluk-makhluk yang sama tetapi telah menyerupai rakan-rakannya.

Mujur bagi Mei yang menghafal mantera penutup, beliau berjaya menghalang serangan makhluk-makhluk tersebut.

Namun, bagaimanakah pula nasib ketiga-tiga rakannya di tandas tadi?

Bayangkan sebuah perkhemahan khas dikendalikan sebuah syarikat khusus untuk “membersihkan” pelajar-pelajar bermasalah di sekolah-sekolah dan universiti. Klon zombi dan pontianak digunakan bagi menyempurnakan misi ini. Inilah yang terakam dalam kisah “Kepercayaan”.

Namun begitu, pembaca diajak memikirkan situasi di mana anak-anak pereka klon ini turut disenaraikan oleh pengetua institusi masing-masing untuk “dibersihkan”.

Adakah sang bapa sanggup merelakan anak-anak mereka terkorban di tangan klon bikinan mereka sendiri?

Bacalah dua lagi karya berjudul “Perkhemahan Khas” dan “Sesat” selain sebuah pengalaman mencemaskan Najib Alias, seorang perunding aktiviti rekreasi, yang terdapat dalam antologi ini.

Sebagai “bonus” untuk pembaca, satu bab berkenaan panduan perkhemahan turut dimuatkan. Antara kandungannya termasuk pemerihalkan kawasan larangan berkhemah, panduan pemilihan khemah dan teknik ikatan berguna semasa berkhemah.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Misteri Perkhemahan: Mencari Keberanian Tidur Di Hutan!
Penulis: Najib Alias & Blinkstar Writers
Penerbit: Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan: Blink Book, 2023.
Nombor Panggilan: Teen Malay NAJ
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita