Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Misi Selamatkan Tasik

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Misi Selamatkan Tasik

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 25 Jul 2026 08:24PM
SINGAPURA: Air tasik kering!

Inilah kali pertama ia terjadi.

Kebimbangan menyelimuti kehidupan yang bergantung padanya.

Burung pucung, kura-kura, monyet, katak dan tupai berusaha mencari punca.

Amalan berbincang sesama mereka membuka ruang huraian.

Burung pucung melakukan siasatan dengan mendapatkan maklumat penting daripada pokok angsana.

Hasil pertemuan inilah, diketahui ia berakar daripada fenomena alam.

Cuaca panas dan hujan yang tidak turun buat tempoh yang agak lama merupakan penyebabnya.

Burung pucung dan tupai amat prihatin dengan keadaan ini. Nasib pokok hujan yang tidak mendapat sumber air menggusarkan keadaan.

Walaupun haiwan-haiwan bersahabat ini tidak mampu membuat hujan, mereka merancang dan bersiap sedia untuk memastikan air hujan yang turun nanti disalurkan ke dalam tasik sebaik mungkin.

Di sinilah, Norsa’adah Ahmad, penulis dan ilustrator buku ini, mendidik pembaca tentang kepentingan memiliki kemahiran berinovasi dan bersatu hati sebagai cara untuk menyelesaikan masalah.

Hujan yang turun akhirnya membawa bahagia kepada hidupan di dalam tasik dan persekitarannya.

Ikan kembali membiak. Burung hijrah seperti hudhud turut bertandang dan menetaskan telurnya di lubang pokok jemerlang yang tumbuh di sana.

Sekawan burung bangau mula bermain di tepi tasik dan mencari makanan juga.

Hidupan flora seperti bunga seroja turut mekar di tasik.

Penulis bijak menggabungjalinkan hidupan flora dan fauna dalam pengkaryaannya.

Contohnya, beliau mengisahkan bagaimana dengan tumbuhnya pokok peluru meriam yang berbunga lebat dan berwarna-warni telah menarik serangga untuk memanfaatkannya.

Pemilihan haiwan sebagai watak-watak yang menggerakkan cerita juga dilakukan dengan cermat.

Burung mewakili hidupan yang melata di udara. Monyet dan tupai pula haiwan yang hidup bergantung kepada pokok-pokok dan bergerak di tanah.

Seterusnya katak, walaupun tanpa berbicara dalam cerita ini, serta kura-kura mewakili haiwan yang hidup di dua alam, darat dan air.

Buku bergambar yang mudah dibaca ini ternyata memiliki kekuatan istimewa.

Elemen mendidik tentang kepentingan penjagaan alam sekitar dan ekosistem tasik disampaikan dengan baik sekali.

Pengenalan tentang pelbagai jenis flora dan fauna terpilih bukan sahaja menambah pengetahuan pembaca cilik tentangnya bahkan golongan dewasa turut meraih manfaatnya.

Glosari di bahagian akhir buku ini juga amat membantu usaha ini.

Dari sudut pengajaran pula, karya ini membina peribadi pembaca cilik dengan memerihalkan erti kerjasama, sifat bertanggungjawab, berkasih sayang, cinta kepada alam sekitar dan paling utama cara menghadapi masalah dan menghuraikannya dengan bijaksana.

Pengulas juga teruja tentang kelahiran ilham menghasilkan buku ini yang berpunca daripada satu peristiwa benar yang berlaku dua tahun lalu.

Jika ingin tahu apakah peristiwa tersebut, segeralah membaca buku ini!

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.​

Tajuk: Misi Selamatkan Tasik
Penulis: Norsa’adah Ahmad
Penerbit: Johor Bahru, Johor: Dua Penulis PLT, imprin Oked, [2025]
Nombor Panggilan: Junior Picture Book NOR
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita