ePustaka: Misi Aktivis Cilik
Anggaran Waktu Membaca:
(Gambar: NLB)
SINGAPURA: Bayangkan hidup di dunia yang pokok-pokoknya semakin berkurangan, hujan sukar turun dan laut pula dipenuhi sampah.
Bolehkah seorang kanak-kanak membantu menyelamatkan bumi yang semakin tenat ini?
Dalam “Misi Aktivis Cilik” karya Emila Yusof, pembaca muda didedahkan kepada pelbagai cabaran penjagaan alam sekitar melalui pengembaraan yang penuh imaginasi.
Kisah bermula dengan Alia, seorang kanak-kanak yang menemui Pi, patung pari-pari milik arwah neneknya yang dibawa pulang dari Jerman.
Nenek Alia merupakan seorang aktivis yang dikenali di peringkat antarabangsa.
Alia terkejut apabila mendapati Pi mempunyai kuasa ajaib! Pi kemudian menjadi teman Alia dalam usahanya menyelamatkan alam sekitar dan masyarakat di sekelilingnya.
Isu kesihatan seperti obesiti dalam kalangan kanak-kanak turut disentuh.
Pelbagai cabaran yang mereka hadapi ditempuhi bersama.
Dengan bantuan kuasa Pi, mereka mencari jalan untuk menangani setiap masalah. Antaranya, Pi mempercepatkan usaha penanaman semula pokok. Pi juga membawa Alia menyelam ke dasar laut supaya mereka dapat melihat sendiri kesan perbuatan manusia terhadap ekosistem di situ.
Walaupun kuasa ajaib Pi menjadikan cerita ini berunsur fantasi, masalah yang diketengahkan merupakan paparan realiti.
Melalui pengembaraan Alia, pembaca dapat melihat bahawa kehidupan manusia, haiwan dan alam sekitar sebenarnya saling berkait.
Apabila alam sekitar terjejas, kehidupan manusia juga menerima kesannya.
Pengembaraan Alia menjadi lebih bermakna apabila dia dan ibunya pergi ke Jerman, tempat Pi dihasilkan. Mereka ke sana untuk menerima anugerah bagi pihak arwah nenek Alia atas sumbangannya dalam bidang aktivisme.
Di sana, Alia mengetahui bahawa Pi mempunyai ratusan “adik-beradik” yang “bertebaran” di seluruh dunia.
Pembaca boleh mengandaikan bahawa mereka juga sedang menjalankan misi bersama kanak-kanak lain untuk menjadikan dunia lebih baik, sekali gus memberikan penutup yang bermakna kepada cerita ini.
Di sinilah terserlah satu pesanan penting karya ini. Setiap orang, walaupun seorang kanak-kanak boleh memainkan peranan besar untuk menjadikan kehidupan di dunia lebih baik.
Pembaca diingatkan bahawa banyak tindakan kecil, apabila dilakukan bersama-sama, boleh menghasilkan perubahan besar.
Justeru, lebih baik kita mulakan dengan satu langkah kecil daripada tidak melakukan apa-apa.
Tanggungjawab menjaga bumi juga harus dimulakan sejak usia kecil lagi.
Golongan ibu bapa dan para pendidik juga dapat memanfaatkan naskhah ini untuk berkongsi pengetahuan dengan kanak-kanak tentang sesetengah istilah alam sekitar dan dunia haiwan.
Ringkasnya, gabungan elemen pengembaraan, isu alam sekitar yang disulami dengan unsur imaginasi dan keajaiban menjadikan “Misi Aktivis Cilik” ini sesuai dinikmati dan dihayati pembaca cilik, bahkan golongan dewasa.
Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.
Tajuk: Misi Aktivis Cilik
Penulis: Emila Yusof
Nombor Panggilan: Malay Junior EMI
Penerbit: Kuala Lumpur: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), 2025
Pengulas: Nur Eliqah Ali, Pustakawan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/AW/az
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.