Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Metropolitan Futurum: Antologi Cerpen Minggu Penulis Remaja 2022

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Metropolitan Futurum: Antologi Cerpen Minggu Penulis Remaja 2022

Antologi cerpen Metropolitan Futurum menghimpunkan 27 cerpen karya 18 penulis muda berusia antara 16 hingga 24 tahun, yang mengetengahkan pelbagai pengalaman, cabaran dan aspirasi golongan remaja. (Gambar: NLB)

Diterbitkan : 31 Oct 2026 05:00PM Dikemas Kini : 31 Oct 2026 05:15PM
ePustaka: Metropolitan Futurum: Anthology of Short Stories from the 2022 Young Writers Festival
  • The anthology “Metropolitan Futurum” brings together 27 short stories by 18 writers aged 16 to 24, portraying the experiences and perspectives of young people and adults.
  • Nur Aliah Izzati Azhari’s short story follows Amni, a teenager who experiences anxiety because of exam stress and high expectations, and seeks psychiatric treatment and support from those around her.
  • Nurafrina Aziz’s work highlights parental favouritism and the role of an unappreciated older sister, while Afza Najwa Zulkefli’s story challenges stereotypes of women in careers as offshore oil rig engineers.
  • The anthology also addresses worker safety and the effects of pollution, and invites readers to discuss stress, reasonable expectations, support and self-love; the book can be found through the NLB catalogue.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Ingin kenali jiwa remaja?

Salah satu caranya adalah dengan menekuni karya-karya yang dihasilkan mereka.

Menerusi cetusan kreatif, sebahagian citra peribadi mereka terserlah.

Tingkat kematangan fikiran, kegusaran dan harapan mereka terakam dalam untaian kata-kata yang dianyam sederhana namun indah.

Justeru, membaca antologi cerpen “Metropolitan Futurum” boleh memenuhi keperluan ini.

Naskhah yang mengandungi 27 cerpen yang dihasilkan 18 penulis muda berusia antara 16 hingga 24 tahun ini layak diraikan. Selain bercerita perihal alam remaja, ada juga yang berusaha untuk mengisahkan tentang pengalaman golongan dewasa.

Antara cerpen yang wajar diberikan perhatian ialah “Mencari Sinar dalam Kegelapan”. Karya Nur Aliah Izzati Azhari ini mengisahkan tentang masalah kebimbangan melampau (anxiety) yang dialami seorang remaja yang bakal menghadapi ujian akademik amat penting.

Amni, gadis berusia 17 tahun, mula hilang fokus di sekolah dan goyah keyakinan diri setelah mendapat keputusan ujian percubaan tidak memuaskan. Pernafasan tidak menentu, sakit dada, marah dan hilang kawalan sehingga mencederakan diri sendiri mula menghantui dirinya. Bebanan jangkaan tinggi oleh pihak sekolah dan kedua ibu bapanya yang diletakkan di bahunya menambah tekanan sedia ada.

Mujurlah beliau segera mendapatkan rawatan doktor psikiatri setelah menyuarakan keadaannya kepada ibu bapanya.

Kejadian beliau pengsan di hadapan kelas menuntut perhatian guru-guru dan teman-temannya untuk memberikan sokongan sewajarnya.

Kisah ringkas ini sesuai dibaca golongan remaja untuk dijadikan bahan perbincangan tentang pelbagai perkara seperti pengurusan tekanan dan meletakkan jangkaan yang sepadan dengan upaya.

Selain itu, ia turut memerihalkan sokongan persekitaran ketika mempersiapkan diri menghadapi ujian dan erti mencintai diri sendiri.

Satu lagi isu yang menuntut perhatian golongan dewasa ialah tentang sikap pilih kasih antara adik-beradik oleh ibu bapa mereka sendiri.

Masalah ini disorot dalam cerpen “Akhir” tulisan Nurafrina Aziz. Peranan seorang kakak yang berusaha mendidik adiknya menjadi insan bertanggungjawab dan berguna kepada keluarga dipandang rendah. Bahkan, beliau dianggap tidak wujud dalam keluarga melainkan menjadi pembantu rumah sahaja.

Walaupun penghujung kisah ini kurang menarik, tetap boleh dijadikan bahan pengajaran memperkemas idea penulisan kreatif remaja.

Cerpen “Tragedi Pelantar Minyak” karya Afza Najwa Zulkefli menonjolkan aspirasi remaja berani dan bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang jurutera luar pesisir yang bertugas di pelantar minyak.

Walaupun kerjaya ini bukan sesuatu yang sinonim dengan wanita, menerusi watak Tasha, penulis berjaya memecahkan pemikiran stereotaip segelintir anggota masyarakat mengenainya.

Selain itu, cerpen ini turut mengungkapkan dua mesej penting lain iaitu mengenai kepentingan mengutamakan keselamatan di tempat kerja berbanding keuntungan wang dan kesan pencemaran alam terhadap kehidupan yang bergantung kepadanya.

Bacalah 24 lagi cerpen dalam antologi ini untuk terus menyelami jiwa para penulis remaja yang dapat mengusik atau menggugah pemikiran kita.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Metropolitan Futurum: Antologi Cerpen Minggu Penulis Remaja 2022
Teks & Ilustrasi: Salina Ibrahim
Penerbit: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2024
Nombor Panggilan: Teen Malay MET​​​​​​​
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita