Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Meow-Lankolia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tidak pernah ada masa yang terlalu awal untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada pelbagai pilihan kerjaya yang wujud di sekeliling mereka.

Komik “Meow-Lankolia”, yang merupakan sebahagian daripada “Siri Komik Karier”, berjaya memperkenalkan pembaca muda kepada dunia pekerjaan melalui jalan ceritanya yang menarik dan menghiburkan.

Ciri istimewa buku ini adalah penggabungan unsur fiksyen dengan fakta-fakta ringkas yang mudah difahami, menjadikannya bahan bacaan santai yang sarat kandungan ilmu berkaitan topik yang dikedepankan.

Ia juga menambah pengetahuan pembaca tentang kerjaya doktor haiwan, satu bidang yang jarang diketengahkan di Singapura. Menerusi paparan infografik, maklumat tentang kelayakan akademik dan latihan yang perlu dijalani sebelum seseorang layak menjadi doktor haiwan bertauliah jelas diterangkan.

Selain memahami tentang tugas harian doktor haiwan seperti merawat haiwan dan mendidik masyarakat tentang kebajikan haiwan, pembaca juga akan mengetahui bahawa khidmat doktor haiwan tidak terhad di klinik atau di hospital haiwan sahaja. Kepakaran mereka juga diperlukan di ladang ternakan dan taman haiwan, sekali gus memperlihatkan betapa luasnya skop kerjaya ini.

Terdapat 110 fakta sains menarik yang diselitkan secara kreatif pada setiap halaman, termasuk infografik di akhir setiap bab.

Fakta-fakta ini bukan sahaja memperkenalkan pembaca tentang biologi haiwan dan manusia, malah turut memberikan panduan berguna mengenai cara menjaga haiwan peliharaan dengan baik, seperti memastikan kucing mendapat nutrisi yang sesuai dan mengenal pasti perubahan tingkah laku yang mungkin menandakan haiwan ini menghadapi masalah kesihatan.

Judul “Meow-Lankolia” diambil daripada perkataan Bahasa Inggeris, “melancholia” yang merujuk kepada perasaan sedih, putus harapan dan kemurungan mendalam. Daripada judul ini, pembaca diberikan gambaran tentang tema emosi yang diketengahkan dalam buku ini.

Melalui watak utama, Dr Hassanul, pembaca diperkenalkan kepada isu kesihatan mental seperti kemurungan dan gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) dengan cara yang mudah difahami oleh pembaca muda.

Kisah hubungan Dr Hassanul dengan seekor kucing jalanan bernama Zach menunjukkan bagaimana sokongan seperti terapi dan kasih sayang terhadap haiwan peliharaan mampu membantu seseorang menghadapi tekanan, kesedihan dan kehilangan.

Perkara yang lebih menyentuh hati ialah ia turut mengajar bahawa membantu orang lain juga boleh menjadi jalan untuk menyembuhkan diri, seperti yang dialami Dr Hassanul apabila merawat haiwan peliharaan milik orang lain di klinik haiwannya selepas kehilangan Zach.

Secara keseluruhannya, “Meow-Lankolia” ialah sebuah karya yang bukan sahaja menghiburkan, malah membuka minda pembaca muda tentang dunia kerjaya, ilmu sains dan kepentingan kesihatan mental.

Dengan gabungan cerita yang menyentuh hati, fakta menarik serta mesej yang penuh makna, komik ini berjaya meninggalkan kesan mendalam kepada pembacanya. Justeru, ia amat sesuai juga untuk dinikmati bersama seisi keluarga.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Meow-Lankolia
Nombor Panggilan: Junior KAR
Penerbit: Batu Caves, Selangor: PTS Publishing House, 2025
Pengulas: Nur Fitri Muhammad Syafran, Pustakawan Kanan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita