ePustaka: Mengapa Kita Sering Lupa Mimpi Ketika Bangun Tidur?
Buku berjudul 'Mengapa Kita Sering Lupa Mimpi Ketika Bangun Tidur?'. (Gambar: NLB)
This audio is generated by an AI tool.
Selain dapat merehatkan minda daripada tekanan pembelajaran dalam kelas, waktu cuti sekolah juga membolehkan mereka meluangkan masa dan mengalihkan fokus kepada aktiviti-aktiviti yang mungkin sukar untuk dilakukan sewaktu di sekolah.
Namun, penting juga untuk kanak-kanak memastikan aktiviti yang dilakukan sepanjang cuti sekolah ini tidak menjejas kesihatan tubuh mereka, terutama sekali tentang waktu tidur mereka.
Bercakap tentang tidur, ia merupakan suatu topik yang jarang dibicarakan.
Misalnya, apakah yang berlaku di dalam tubuh kita semasa kita tidur?
Berapa lamakah tempoh tidur yang ideal?
Bagaimanakah caranya untuk kita cepat tidur?
Apakah yang menyebabkan kita terjaga di tengah malam?
Apakah posisi tidur yang baik dan sihat untuk badan kita?
Demikianlah persoalan-persoalan berserta jawapan yang boleh ditemui dalam buku “Mengapa Kita Sering Lupa Mimpi Ketika Bangun Tidur”, yang merupakan salah satu tajuk daripada siri Komik Pintar Si Juki terbitan Pinko Creative.
Buku pengetahuan berbentuk komik ini bertujuan memberikan pencerahan kepada pembaca muda mengenai pelbagai persoalan tentang tidur yang selama ini membuat kita tertanya-tanya.
Menerusi watak Juki dan Bang Awung, buku ini menghidangkan informasi dan fakta secara lucu dan santai.
Selain persoalan-persoalan yang disebutkan, ia juga membicarakan topik mengenai gejala tidur seperti hipersomnia, narkolepsi dan sindrom kaki gelisah.
Diselitkan juga satu bab yang membicarakan tentang ketindihan atau “sleep paralysis” – benarkah ketindihan semasa tidur disebabkan gangguan jin dan syaitan?
Pastinya buku ini akan dinikmati oleh pembaca yang menggemari genre komik. Selain ilustrasi yang lucu berserta pelbagai adegan yang mencuit hati, ia turut memberikan penekanan terhadap pentingnya menjaga waktu tidur yang ideal, terutama sekali bagi kanak-kanak berumur 6 hingga 17 tahun yang memerlukan tidur antara 8 hingga 11 jam.
Ibu bapa boleh meluangkan masa untuk berbual bersama dengan anak-anak tentang perubahan yang perlu dibuat dari segi tabiat dan kebiasaan yang menjurus kepada kurang tidur, serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk memastikan waktu tidur yang cukup.
Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.
Tajuk: Mengapa Kita Sering Lupa Mimpi Ketika Bangun Tidur?
Penulis: Faza Meonk
Penerbit: Kuala Lumpur: Pinko Creative Sdn. Bhd., 2025
Nombor Panggilan: Children Malay 613.7 MEO
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan Kanan, NLB
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.