Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Memoir Kampung Boy

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Memoir Kampung Boy

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 06 Sep 2025 02:00PM Dikemas Kini : 06 Sep 2025 02:01PM

SINGAPURA: “Memoir Kampung Boy” membawa kita kembali ke zaman kanak-kanak yang sederhana tetapi penuh warna, di mana kehidupan di kampung dihidupkan semula melalui lensa seorang anak lelaki yang penuh rasa ingin tahu. 

Ditulis daripada perspektif penulis sewaktu kecil, memoir ini bukan sekadar catatan peribadi, tetapi sebuah cermin bagi sesiapa yang pernah membesar dalam suasana kampung: riang, penuh imaginasi, dan sarat dengan pelajaran hidup. 

Pertanyaan kanak-kanak yang polos, lurus, dan kadang-kadang lucu memberi nafas segar kepada setiap babak, membuat pembaca tersenyum atau tertawa sambil mengenangkan nostalgia masa lampau.

Buku ini memaparkan realiti kehidupan anak-anak kampung yang membesar sekitar tahun 1970 hingga 1980-an di Malaysia. 

Mereka mudah berkawan, gigih mengejar keinginan, reda dengan hukuman, dan mula belajar tentang kehilangan insan-insan yang tersayang. Penulis dan rakan-rakannya menjalani hari-hari yang sederhana tetapi bermakna di mana mereka membuat basikal sendiri, mencipta permainan baharu, dan mengisi masa dengan aktiviti yang memerlukan kreativiti serta kerjasama. 

Memoir ini menyenaraikan pelbagai permainan tradisional seperti gundu, konda-kondi (cakar ayam), rounders, gasing, guli, galah panjang, lastik, baling selipar, laga ikan, laga labah-labah, dengan penerangan tentang cara permainan dimainkan, seolah-olah menjemput pembaca untuk merasakan juga pengalaman mereka. 

Tidak ketinggalan juga desas-desus kisah-kisah makhluk ghaib seperti toyol, pocong, hantu kum-kum, dan orang bunian. Melalui penceritaan tentang pengalamannya memancing atau mengutip lokam di dalam hutan, penulis turut menekankan nilai hormat terhadap alam tika berada di sana, di mana mereka perlu menuruti peraturan atau mengamalkan suatu petua.

Kekuatan memoir ini terletak pada kemampuannya untuk membangkitkan emosi. Ada babak yang melucukan, ada juga yang mengundang sebak. Babak-babak yang melucukan terserlah dalam dialog jujur dan jenaka spontan kanak-kanak yang mampu membuat pembaca tersenyum atau ketawa kecil. 

Pada masa yang sama, terdapat babak yang mengundang sebak seperti perpisahan dengan rakan dan kehilangan seorang sahabat. Semua ini digarap dengan halus, menimbulkan rasa empati dan nostalgia, seolah-olah kita sendiri menyelami dunia kanak-kanak yang polos, penuh debar, dan kaya dengan perasaan yang tulus.

Latar tempat seperti Raub, Pekan, Parit Jawa, dan Melaka memperkenalkan pembaca kepada kosa kata tempatan yang unik dan budaya masyarakat kampung, menjadikan memoir ini sebagai dokumen budaya yang bernilai. 

Bahasa yang digunakan bersifat santai, dipenuhi slanga daerah, namun pada detik tertentu bertukar puitis dan menusuk kalbu. 

Setiap tempat memperkenalkan kosa kata baharu seperti “awokme”, “beromeh”, dan sebagainya. Bahasa slanga seperti “siot”, “karang”, “ek’eleh”, “mende” turut dimasukkan, menjadikan memoir ini semakin hidup dan realistik. 

Penulis turut menonjolkan budaya tempatan seperti adat berpantun, menabur duit ketika majlis perkahwinan dan nasihat ibu bapa tentang adab.

Kesimpulannya, “Memoir Kampung Boy” bukan hanya kisah peribadi penulis, tetapi kisah kolektif mereka yang pernah membesar di kampung atau menikmati zaman kanak-kanak tanpa gajet, di mana persahabatan, kreativiti, dan kesederhanaan adalah sumber kebahagiaan.

Di sebalik hiruk-pikuk dunia digital hari ini, memoir ini bukan sekadar kisah masa silam, tetapi sebuah jambatan emosi yang menghubungkan generasi kini dengan kehidupan kampung yang bergerak perlahan, sederhana, dan sarat dengan makna.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Memoir Kampung Boy
Penulis: Mitch
Penerbit: Kuala Lumpur: Menara Seni Enterprise, 2021.
Nombor Panggilan: Malay 899.283 MIT
Pengulas: Nur Fatin Afiqah Halim, Pustakawan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita