Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: Membina Bakat Kreatif

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Istilah kesusasteraan secara ringkasnya merujuk kepada ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa yang indah-indah untuk menyebarkan kebaikan dalam kalangan umat sejagat. 

Masyarakat Melayu kita amat kaya dengan pelbagai genre kesusasteraan sejak dahulu kala. 

Puisi Melayu tradisional sendiri mempunyai banyak jenisnya seperti gurindam, pantun, syair dan seloka. 

Semua ini berfungsi sebagai alat mendidik bagi melahirkan bangsa yang mulia, maju dan bertamadun.

Kini, antara bentuk pengkaryaan sastera yang berimpak tinggi dan disenangi ramai ialah puisi, sajak dan pantun. Justeru itu, amat diperlukan penerbitan bahan pembelajaran dan panduan oleh golongan pakar untuk umum mengenali, menghasilkan dan menghargainya.

Kelahiran buku tulisan Sasterawan Negara Malaysia, Dr. Zurinah Hassan ini sudah lama dinantikan. 

Ia sarat dengan panduan dan teknik penghasilan puisi. Terbahagi kepada 11 bab, antara pengisiannya termasuk topik berkenaan penulisan puisi moden, pemikiran kritis sebagai isi puisi, pelbagai sumber ilham, penciptaan pantun dan sastera dalam era digital. 

Antara kandungan penting dalam buku setebal 125 muka surat ini adalah bagaimana seseorang boleh menjadi penulis yang baik. 

7 perkara yang perlu dimiliki ialah bakat, kesungguhan dan kerajinan, persekitaran yang memberangsangkan, ilmu pengetahuan, minat kepada perkembangan di sekeliling, disiplin dan pengamalan gaya hidup sihat.

Dalam bab “Menulis Puisi Moden” pula, penulis menyenaraikan 5 ciri puisi yang baik. 

Pertama, ia mengandungi isi yang baik dan bermanfaat kepada pembaca. 

Kedua, puisi tersebut merangsang pemikiran dan perasaan. 

Seterusnya, penggunaan perkataan yang ekonomis diperlukan, iaitu sedikit perkataan memperkatakan banyak perkara. Setiap patah perkataan perlu menyempurnakan fungsi bagi membawa maksud. 

Akhir sekali, puisi itu memiliki gambaran yang mudah dibayang dan digambarkan.

Terdapat banyak lagi mutiara pengajaran tentang penulisan puisi dan pantun yang dijelaskan penulis dalam bahasa yang mudah difahami. 

Bahkan, contoh-contoh karya yang digunakan untuk menerangkan sesuatu isi adalah miliknya sendiri. Sekali gus, memberi peluang kepada pembaca untuk lebih mengenali penulis sebagai pemuisi yang sungguh kreatif, kritis dan berdedikasi.

Lungsurilah laman katalog NLB, https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan awam.

Tajuk: Membina Bakat Kreatif
Penulis/Pelukis: Zurinah Hassan
Penerbit: Kangar, Perlis: Penerbit Universiti Malaysia Perlis, 2022.
Nombor Panggilan: Malay 808.02 ZUR
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan,  NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan