Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Melayu: Laut & Perdagangan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jauh sebelum pengaruh asing menjejakkan kaki ke alam Melayu, orang Melayu sudah pun sibuk mereka bentuk perahu-perahu besar dan menyusun undang-undang pelayaran.

Jiwa mereka tidak terikat kepada tanah yang dipijak, tetapi pada luasnya lautan yang ditempuhi.

Mereka bukan sekadar nelayan, tetapi pelayar, pedagang dan penggubal undang-undang laut. Namun, kehebatan warisan maritim ini sering tenggelam dalam lipatan sejarah yang lebih banyak merakamkan kisah penjajah.

Di sini, Ahmad Jelani Halimi, tampil dengan “Melayu: Laut & Perdagangan” yang merupakan sebuah himpunan esei yang membuktikan bahawa orang Melayu pernah berdiri gagah di pentas maritim dunia.

Berdasarkan koleksi surat Francis Light dan sumber primer sejarah tempatan, buku ini membawa pembaca menyelami sejarah perdagangan maritim dan hubungan politik dunia Melayu sekitar abad ke-18 dan ke-19.

Antara sumbangan terpenting buku ini ialah gambaran tentang sistem perdagangan dan pelayaran Melayu sebelum kedatangan penjajah. Melalui surat-surat perdagangan, pembaca juga dapat melihat peranan Saudagar Raja sebagai tulang belakang ekonomi kesultanan, sekali gus membuktikan bahawa masyarakat Melayu memiliki sistem pemikiran dan pentadbiran yang tersusun.

Penulis turut menjelaskan bahawa orang Melayu telah menggubal antara kanun laut tertua di dunia, dan yang lebih menakjubkan, kanun-kanun ini bersifat dinamik dan mampu berubah mengikut landskap sosiopolitik semasa.

Sebagai contoh, Undang-Undang Laut Melaka menghukum kesalahan mencuri dengan potong tangan tetapi kanun yang lebih baharu seperti Undang-Undang Perahu hanya mengenakan hukuman rotan.

Begitu juga dengan struktur kanun itu sendiri, di mana kanun lama membuka dengan pengiktirafan terhadap sultan, tetapi unsur ini hilang dalam kanun yang lebih baharu apabila penjajah mula berkuasa.

Surat-surat Francis Light turut mendedahkan iklim sosioekonomi dan politik, serta realiti perdagangan yang kompleks. Ini termasuk hubungan tiga segi yang tegang antara Kedah, Siam dan Pulau Pinang serta penyelewengan sesetengah Saudagar Raja yang menyembunyikan urusan hutang piutang mereka dengan pihak British daripada pengetahuan sultan.

Ditulis dengan pendekatan akademik, buku ini merupakan suatu karya sejarah yang penting tentang tamadun maritim dunia Melayu yang aktif dan berpengaruh, sesuai bagi sesiapa yang ingin memahami sejarah rantau ini dengan lebih mendalam lagi.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Melayu: Laut & Perdagangan
Penulis: Ahmad Jelani Halimi
Penerbit: Kuala Lumpur: The Patriots, 2025.
Nombor Panggilan: 959.503 AHM
Pengulas: Nur Fatin Afiqah Halim, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita