Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Mayang Sari: Puteri Dari Kayangan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Masyarakat Melayu terkenal dengan pelbagai kisah hikayat dan legenda.

Ada yang sedia diketahui umum manakala sebahagian lain masih kurang dikenali generasi muda hari ini.

Antara hikayat yang perlu diberikan perhatian ialah kisah Puteri Mayang Sari yang dihidupkan semula oleh penulis, Ninot Aziz, menerusi buku Siri Hikayat Kanak-Kanak ini.

Buku ini mengisahkan tentang Awang, seorang pemuda yang hidup sederhana tetapi memiliki sifat bertanggungjawab dan tabah menempuhi dugaan. Apabila ibunya jatuh sakit, beliau berusaha sepenuh hati untuk mendapatkan bunga bakawali, bunga ajaib yang hanya tumbuh di taman larangan Kayangan.

Menyedari beliau tidak mempunyai banyak masa, Awang nekad merentas masuk ke dunia Kayangan, meskipun tindakan ini amat berbahaya kerana dipenuhi pelbagai rintangan.

Dalam pengembaraannya, takdir menemukan Awang dengan Puteri Mayang Sari, seorang puteri dari dunia langit yang sering turun ke bumi bersama enam orang kakaknya untuk bermain di Tasik Cermin.

Kejujuran Awang telah menawan hati Puteri Mayang Sari. Sang puteri yang sebelum ini hanya mengenali kehidupan di Kayangan, mula melihat dunia manusia dengan lebih empati.

Cinta antara kedua-dua insan berlainan keturunan ini mekar mewangi.

Keistimewaan kisah ini bukan hanya pada unsur magisnya, tetapi juga nilai kasih sayang dan ihsan yang mendalam sesama insan.

Ia mengangkat keberanian seorang anak yang sanggup berkorban demi ibunya, serta keupayaan seorang puteri untuk memilih jalan hidupnya sendiri.

Kanak-kanak hari ini mungkin lebih mengenali Elsa dan Moana, dua watak kartun Barat daripada puteri Melayu. Mereka juga lebih terbiasa dengan kisah rakyat yang terkenal seperti Si Tanggang dan Badang.

Namun, kisah Mayang Sari membawa satu kelainan — sebuah kisah penuh unsur keajaiban, rentas dunia nyata dan alam lain namun tetap sarat dengan nilai pengajaran untuk pembaca.

Ilustrasi dalam buku ini mungkin lebih sederhana berbanding bahan bacaan yang dilukis secara digital, namun ia tetap berjaya menghidupkan latar budaya Nusantara dengan penggunaan warna-warna yang sesuai.

Buku ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah pintu ajaib ke dunia hikayat Nusantara yang wajar diterokai oleh generasi muda.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Mayang Sari: Puteri Dari Kayangan
Penulis: Ninot Aziz
Nombor Panggilan: J 398.209595 NIN
Penerbit: Kuala Lumpur: Patriots Publishing Sdn Bhd, 2023.
Pengulas: Nur Eliqah Ali, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita