Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Mar Pencari Kamus

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Mar Pencari Kamus

Buku berjudul 'Mar Pencari Kamus'. (Gambar: NLB)

Diterbitkan : 04 Jul 2026 02:43PM
SINGAPURA: Himpitan kemiskinan menuntut sebilangan daripada anak-anak di luar sana menyelongkar timbunan sampah sarap untuk mencari buku-buku terpakai demi kelangsungan hidup sebagai pelajar.

Inilah cerita Mar. Cerita perjuangan seorang anak mengejar kejayaan dalam pelajaran dan kehidupan.

Mar pelajar darjah 5 minat meneroka bahan bacaan di perpustakaan. Walaupun tidak mahir membaca, beliau akan mengandaikan sesebuah cerita berdasarkan gambar yang tersusun di dalamnya.

Beliau juga minat belajar tentang huruf baharu yang ditemuinya dalam buku.

Ketika kelas Bahasa Inggeris, Mar sering menghadapi kesukaran menjawab soalan kerana tidak memiliki kamus yang dikongsi dengan adiknya yang menuntut di sekolah yang sama.

Usaha untuk meminjam daripada teman-teman sekelas lebih menimbulkan pertelagahan daripada huraian.

Berasal daripada keluarga susah sembilan beradik, Mar, pelajar penerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan, tidak mampu memiliki kamus sendiri. Ada waktunya, beliau mengikut bapanya ke kawasan pembuangan sampah untuk mengutip barangan yang boleh dikitar semula, termasuk buku-buku terpakai dengan harapan menjumpai kamus di situ.

Apatah lagi, Mar amat memerlukannya bagi kelas Bahasa Inggeris dan persiapan beliau menduduki peperiksaan penting pada tahun mendatang.

Mar tidak mahu membebankan bapanya untuk membelikan kamus baharu yang sangat mahal harganya. Selagi mampu, mereka adik-beradik boleh berkongsi satu kamus buruk sesama mereka.

Bahkan, mereka turut merancang kewangan bersama bagi membeli sendiri senaskhah dengan mengetepikan keinginan untuk mendapatkan barang persekolahan lain.

Peristiwa Mar dirotan guru Bahasa Inggerisnya kerana menipu gurunya bahawa beliau memiliki kamus peribadi menginsafkan diri.

Tindakannya mendapat kecaman rakan-rakan sekelas. Mujurlah, gurunya kemudian memberikan beliau senaskhah kamus terpakai.

Suatu hari, bapa Mar menemui dua kamus dari tempat pembuangan sampah. Apakah kesan daripada “penemuan” berharga ini kepada Mar dan adik-beradiknya?

Bacalah novel ini untuk mengetahui peleraiannya.

“Mar Pencari Kamus” ternyata sebuah novel yang menyuntik inspirasi kepada pembaca kanak-kanak untuk memiliki peribadi kental dalam mengharungi cabaran kehidupan, khususnya kemiskinan.

Hakikatnya, kemiskinan bukan penghambat kemajuan dalam pelajaran. Inilah “guru” amat berharga yang membentuk peribadi murni seseorang yang sedang meningkat usia.

Nilai ketabahan, kejujuran, amanah, kasih sayang, bertanggungjawab, kesabaran, daya juang juga diadun mantap menerusi pengalaman Mar untuk mendapatkan senaskhah kamus.

Pembaca matang mungkin merasakan penulis menghasilkan karya ini berdasarkan pengalaman peribadi. Beliau juga teliti memilih kamus sebagai sebuah simbol himpunan ilmu dan pengetahuan yang perlu dimiliki seseorang bagi mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Mar Pencari Kamus
Penulis: Nilam Tang
Penerbit: Johor Bahru, Johor: Dua Penulis, 2025
Nombor Panggilan: Junior TAN
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita