Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Mai Chek Nak Habaq: 100 Mitos Kesuburan dan Kehamilan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pada zaman moden serba canggih kini, masihkah ada lagi mitos tentang kesuburan dan kehamilan dalam kalangan masyarakat kita?

Dalam buku dua jilid ini, Dr. Imelda Balchin telah mengumpulkan 100 mitos atau salah tanggapan tentang perkara ini berdasarkan pengalaman beliau selama 25 tahun dalam bidang perubatan keibuan (maternal) dan janin (fetal).

Walaupun topik ini serius, ia disampaikan dengan nada bersahaja, dalam bentuk soal jawab dan dialog di mana Dr. Imelda memperbetulkan persepsi yang kurang tepat tentang sesuatu mitos dengan membentangkan fakta saintifik untuk mengukuhkan hujahan beliau.

Salah satu ciri menarik dan agak unik buku ini ialah penyampaian kandungan yang diselitkan loghat utara Malaysia. Ini memberikan kesan seolah-olah Dr. Imelda sedang berbincang sesuatu dengan pembaca secara langsung.

Pembaca dapat “mendengar” jelas “suara” Dr. Imelda bersungguh-sungguh memberikan nasihat agar golongan ibu tidak mengamalkan perkara yang sia-sia atau lebih buruk lagi, membahayakan kesihatan diri sendiri dan bayi dalam kandungan mereka.

Antara mitos yang boleh dikategorikan sebagai petua orang lama ialah larangan memakan buah tertentu seperti nanas, tebu, kelapa, durian dan betik kerana boleh menyebabkan keguguran kandungan.

Ini disangkal oleh Dr. Imelda yang menegaskan bahawa buah-buahan ini semuanya berkhasiat dan boleh dimakan asalkan si ibu tidak ada alergi atau kesan alahan terhadapnya.

Satu lagi mitos yang mungkin masih membelenggu masyarakat kita ialah menyalahkan isteri sebagai tidak subur apabila pasangan gagal mendapat anak.

Sebaliknya, Dr. Imelda menekankan perlunya untuk pasangan suami isteri menjalani ujian bagi mengenal pasti punca masalah kesuburan, seterusnya mendapatkan rawatan untuk menangani keadaan ini.

Penulis turut membincangkan topik yang lebih serius seperti jangkitan HIV daripada ibu kepada anak. Dalam hal ini, beliau menegaskan bahawa jangkitan tdak berlaku semasa kehamilan tetapi sewaktu melahirkan anak secara normal.

Bagi topik yang serius, beliau turut berkongsi rujukan sumber perubatan yang autoritatif supaya para pembaca dapat mengkaji lebih mendalam lagi tentang perkara yang dibangkitkannya.

Manfaatkanlah kedua-dua jilid buku ini, yang pertama setebal 303 halaman dan kedua pula setebal 296 halaman. Sebanyak 100 mitos yang terkumpul secara keseluruhan menawarkan ilmu dan pengalaman yang pasti meningkatkan pemahaman kita tentang kesuburan dan kehamilan.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi mendapatkan buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Mai Chek Nak Habaq: 100 Mitos Kesuburan dan Kehamilan. Jilid 1 & 2.
Penulis: Prof. Dr. Imelda Balchin
Penerbit: Kuala Lumpur: Cheras, Selangor: Penerbitan Kata-Pilar, 2024
Nombor Panggilan: Adult 618.2 IME
Pengulas: Mazelan Anuar, Pustakawan Kanan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita