Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: Lembut Gebu

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Aku dan Wan seperti isi dan kuku. Di mana ada Wan, di situ ada Aku.

Setiap pergerakan Wan, Aku turut merasakannya. Sukar untuk memisahkan kami berdua. Kami bersahabat baik semenjak Wan kecil lagi.

Setiap hari, Wan akan membersihkan Aku.

Dia tidak pernah lupa untuk menyabun dan membasuh Aku dengan teliti. Selepas disabun, Wan akan mengelap Aku dengan rapi. Kesungguhan Wan untuk menjaga Aku begitu menyentuh perasaanku.

Maklumlah, Aku jenis yang sangat sensitif. Perlukan sentuhan yang sangat teliti.

Wanita Binte Manan ialah anak tunggal Encik Manan. Encik Manan seorang bapa tunggal yang kematian isteri setelah anak perempuan yang satu-satu itu selamat dilahirkan ke dunia.

Wanita Binte Manan tidak pernah merasakan kasih sayang serta belaian seorang ibu. Dia hanya berkesempatan melihat ibunya daripada gambar yang disimpan Encik Manan.

Kehilangan isteri yang tersayang meninggalkan bekas yang mendalam di tangkai hati Encik Manan. Meskipun Encik Manan reda akan pemergian isteri yang tersayang itu, dia tidak tergamak untuk mendirikan rumah tangga lagi.

Aku mengagak Encik Manan tidak sanggup melihat Wanita dijaga ibu tiri.

Dahulu, Encik Manan pernah mengambil khidmat seorang pengasuh untuk menjaga Wanita. Namun, setelah terjadi kes dera ke atas diri anak yang disayanginya itu, Encik Manan tidak sanggup untuk menyerahkan tugas menjaga Wanita kepada orang lain lagi.

Biarlah Encik Manan yang mengasuh sendiri Wanita. Dia lebih suka memanggil Wanita dengan singkatan Wan. Lebih mesra dan manja.

Sememangnya Wan seorang gadis yang comel. Berkulit putih melepak. Ibarat telur dikupas. Walaupun Wan bertudung, dia tetap kelihatan ayu dengan penampilan yang sederhana; menutup aurat dengan sempurna.

Hanya terlihat wajahnya yang bersinar cerah persis seorang gadis Korea.

Hidungnya mancung. Namun, matanya dan bibirnya kecil mungil. Kini, sesiapa yang tidak mengenali Wan, tidak akan berpeluang untuk mencuri pandang muka Wan yang manis itu. Cuma mata sepetnya sahaja kelihatan. Akibat pemakaian pelitup yang diwajibkan ketika berada di luar rumah, muka manis Wan menjadi suatu rahsia.

Hanya orang yang terdekat sahaja bertuah dapat melihat muka Wan yang ayu.

Pemakaian pelitup bertujuan untuk mencegah virus COVID-19 daripada terus menyerang dan menjangkiti manusia.

Rakyat Singapura tidak terkecuali.

Perjuangan untuk menangani COVID-19 ini belum berakhir meskipun vaksin telah diketemukan.

Oleh itu, sesiapa yang berada di luar rumah mesti memakai pelitup. Jika ingkar peraturan ini, akan didenda. Wan tidak terkecuali. Dia perlu memakai pelitup muka hampir lebih daripada lapan jam pada setiap hari.

Bahang. Itulah yang Aku rasakan pada setiap hari. Kepanasan yang membahang itu membuat Aku rimas dan gelisah. Peluh yang mengalir itu menutupi segala ceruk liang-liang roma menjadikan Aku sesak seolah-olah tidak dapat bernafas.

Aku organ yang terlebar untuk manusia.

Jika licin dan berseri, khususnya di bahagian muka, seseorang itu akan kelihatan cantik dan menawan. Pelitup yang menutup bahagian muka Wan membuat Aku disekat dan tersekat.

Semakin banyak habuk dan kotoran yang menghadang pengaliran udara dan darah.

Keadaan ini membuat muka Wan muncul bintat-bintat merah. Lama-kelamaan bintat merah menjadi benjolan yang besar serta membengkak seperti gunung berapi yang akan meletus pada bila-bila waktu.

Ketika Wan memicit benjolan yang menanah itu, Aku terasa keperitannya.

Satu demi satu benjolan bintat-bintat merah meletup, mengeluarkan darah merah dan nanah kuning. Apabila satu bahagian kering, bahagian lain pula muncul bintat-bintat merah.

Aku, kulit di muka Wan menjadi berlubang dan berlekuk-lekuk tidak selicin seperti dahulu.

Semakin hari, aku melihat Wan tidak seceria dahulu.

Ada waktu Wan menangis bersendirian
di kamarnya. Andainya Aku dapat bersuara, sudah Aku legakan perasaan bimbang Wan.

Namun, Aku tidak berdaya.

Aku hanya mampu merasakan bersama kerisauan Wan.

Hari silih berganti. Bintat-bintat merah semakin menjadi-jadi dan sekelip mata membengkak. Kemudian meletup dengan tiba-tiba, seperti bertih jagung, mengeluarkan nanah dan darah.

Apabila ini berlaku, ruang yang rata di atas diriku akan muncul bintat-bintat yang baru. Seperti virus COVID-19 ini, bintat-bintat merah itu mudah merebak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Hampir seluruh permukaan Aku yang asalnya rata ditakluki bintat-bintat merah ini.

Wan semakin bersedih.

Ada waktu Wan tidak makan sepanjang hari. Sudah bermacam-macam krim yang dibeli Encik Manan. Namun, tiada satu yang berkesan untuk menghapuskan bintat-bintat merah itu.

“Alah, ini masalah biasa remaja yang baru baligh. biasa. Lambat-laun akan hilang dengan sendiri”, Aliah, kawan Wan cuba menenangkan hatinya.

“Muka aku tak seperti dulu lagi. Tak berseri macam dulu”, rintih Wan kepada Aliah.

Malam itu, Encik Manan masuk ke kamar Wan. Encik Manan menanyakan khabar anak perempuannya.

“Wan, ada apa-apa yang Wan nak ceritakan dengan ayah? Ayah lihat Wan sering mengurung diri di dalam bilik. Wan macam muram sahaja”, Encik Manan memulakan perbualan dengan anak tunggalnya itu.

Suaranya bergetar risau.

Wan terus menangis teresak-esak. Air matanya yang mengalir deras itu membasahi kemeja-T bapanya. Saat itu, Encik Manan turut berasa simpati.

Dia mendengar keluhan Wan. - bintat-bintat merah itu membuat Wan hodoh.

Wan tidak sanggup melihat cermin dan terlihat jerawat menutupi kulit mukanya.

Dia menangis kerana dia rasa tidak secantik dahulu.

“Wan, kayu ukur untuk kecantikan seorang perempuan bukan terletak pada wajahnya sahaja. Memang penampilan diri itu penting.

Tetapi ayah berharap Wan dapat melihat bahawa kecantikan dalaman juga penting. Hati yang baik dan kebijaksanaan diri lebih penting untuk seseorang mengharungi hidup di dunia ini.

Jadi, ayah tidak mahu melihat Wan bersedih kerana jerawat yang timbul di muka itu. Esok kita pergi ke klinik dan minta nasihat doktor,” Encik Manan cuba untuk memberikan semangat kepada anak perempuannya itu.

Doktor di klinik kulit memberi beberapa ubat untuk disapukan Wan di mukanya.

Ubat pencuci, toner dan krim untuk mengempiskan jerawat. Pada waktu yang sama, doktor memberikan pil antibiotik yang harus diambil selama seminggu.

Wan begitu tekun menggunakan ubat yang diberikan doktor itu. Di samping itu, Wan juga mengambil diet yang seimbang.

Dia lebih banyak minum air putih, mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan.

Pada satu malam yang hening itu, Wan menunaikan kewajipan solat maghrib.

Wan duduk di atas sejadah lebih lama daripada biasa. Aku cukup tersentuh tatkala mendengar Wan berdoa. Dia mengangkat kedua-dua tangan dan memanjatkan doa yang ikhlas kepada Sang Pencipta.

“Ya Tuhan, Engkau pemilik dan pencipta apa sahaja yang ada di bumi dan di langit. Aku bermohon kepada Mu di atas segala kesalahan yang pernah aku lakukan sama ada sengaja atau tidak sengaja. Aku manusia yang lemah. Bantulah aku, Ya Tuhan, untuk menyembuhkan jerawat di muka ku ini. Jadikanlah ubat yang diberikan oleh doktor sebagai alat untuk menyembuhkan jerawat ini. Engkau berkuasa di atas segala-galanya”, Wan merintih dengan ikhlas.

Lama-kelamaan terlihat perubahan yang ketara. Jerawat yang besar semakin mengecil. Bintik-bintik merah semakin menghilang. Meskipun ada bekas-bekas jerawat di permukaan.

Aku tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya sekarang Aku boleh bernafas seperti biasa. Aku gembira apabila melihat Wan kembali ceria seperti dulu.

*Cerpen ini adalah karya dari Rubiyah Ghavs.

Sumber : BERITA Mediacorp/AW/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan