Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Lelaki Berwajah Dua: Sebuah Novel Kanak-Kanak

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Lelaki Berwajah Dua: Sebuah Novel Kanak-Kanak

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 11 Apr 2026 09:33PM Dikemas Kini : 11 Apr 2026 09:34PM
SINGAPURA: Johan seorang pelajar berusia 12 tahun ialah seorang pembuli.

Antara yang sering menjadi mangsa kenakalannya ialah, Ramlah, pelajar sesekolahnya yang tempang sejak dilahirkan.

Namun, peristiwa Ramlah menyelamatkannya daripada ditimpa kemalangan telah merubah peribadinya.

Tambahan pula, kos rawatan kecederaan Johan turut ditanggung oleh ibu Ramlah.
Johan mula insaf akan sikap nakalnya dahulu yang turut mengecewakan ibu bapanya.

Walaupun perubahan sikapnya menjadi gurauan sinis teman-teman sesekolah khususnya, Aziz, kawan yang banyak mempengaruhi dirinya menjadi nakal, beliau berusaha untuk menerima ketentuan itu.

Suatu hari, Johan menerima sepucuk surat bersetem tanpa alamat pengirimnya serta tarikh ia ditulis. Surat bertulis tangan cantik berdakwat hijau misteri itu meminta beliau bertemu dengan seorang lelaki yang memegang sebiji bola kristal berdasarkan maklumat yang diberikan.

Menurut si pengirim misteri, pertemuan itu akan menentukan masa depannya.

Dua persoalan turut dikemukakan kepada Johan dalam surat tersebut – sama ada beliau hendak menukar gaya hidup baharu atau meneruskan kenakalannya.

Pengalaman ganjil itu benar-benar menyeramkan Johan. Apatah lagi, surat tersebut terus ghaib seusai beliau membacanya!

Walaupun Johan ragu-ragu akan keselamatannya untuk berjumpa dengan lelaki misteri tersebut, tetap beliau bulatkan tekad untuk memenuhi “undangan” itu demi “masa depan”nya.

Lelaki itu memang memiliki ciri luar biasa. Wajahnya ada dua bahagian. Di sebelah kiri memaparkan kegarangan manakala sebelah kanan pula menampakkan keserian peribadi. Apabila berbicara, kedua-dua mulut pada setiap wajah boleh bergerak seiringan pula!

Wajah garang lelaki misteri itu menuntut Johan untuk melihat ke dalam bola kristal. Terpampang perbuatan keji beliau di dalamnya. Johan diberikan amaran, jika beliau terus memilih untuk meneruskan perangai buruknya, hukuman dan seksaan berat akan menimpa dirinya.

Dalam pertemuan kedua dengan lelaki misteri ini, bola kristal itu menayangkan keindahan sebuah alam yang mempesonakan, nyaman dan menyenangkan hati Johan.

Terdapat beberapa unsur simbolik di dalamnya yang memerlukan beliau renungkan dan fikirkan nilai pelajarannya.

Di penghujung kisah ini, Johan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PSLEnya. Ini membahagiakan kedua ibu bapanya.

Beliau mula sedar, pilihan untuk insaf dan bersikap positif dalam kehidupan menjanakan keberuntungan dalam pelajaran dan hubungan kekeluargaan.

Aziz, kawannya yang nakal, menanggung nasib buruk pula. Beliau gagal dalam peperiksaan dan perlu ulangi pengajiannya dalam darjah enam.

Anehnya, tidak lama kemudian, Aziz turut menerima surat misteri yang sama seperti Johan. Adakah beliau akan menyahut “undangan” untuk bertemu dengan lelaki misteri berwajah dua itu?

Apakah nasib yang menyusulinya nanti?

Bacalah novel karya Peter Augustine Goh, penulis tempatan mapan ini, untuk mengetahui peleraiannya.

Naskhah ini pastinya membantu membina peribadi positif dalam kalangan pembaca muda selain dapat memperkayakan pengetahuan peribahasa dan kosa kata bahasa ibunda kita.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Lelaki Berwajah Dua: Sebuah Novel Kanak-Kanak
Penulis: Peter Augustine Goh
Nombor Panggilan: Collection Junior Singapore GOH
Penerbit: Singapura: Caliph Readers, 2025.
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
 
Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita