ePustaka: Legenda dan Cerita Rakyat Dunia Melayu: Kisah-Kisah Penglipur Lara
SINGAPURA: Tahukah anda tentang kisah Badang yang memperoleh kekuatan luar biasa setelah memakan muntah hantu sungai?
Atau cerita Si Tanggang yang disumpah menjadi batu akibat menderhaka kepada ibunya?
Kisah-kisah ini boleh anda baca dalam buku yang bertajuk “Legenda dan Cerita Rakyat Dunia Melayu: Kisah-kisah Penglipur Lara”.
Buku ini bukanlah sebuah antologi legenda dan cerita rakyat Melayu. Ia merupakan sebuah karya yang sarat dengan pengetahuan mengenai sejarah dan warisan cerita rakyat, terutama dari aspek perkembangan budaya dan seni Melayu.
Ia turut membincangkan peranan para penglipur lara dalam penyebaran cerita rakyat secara lisan, struktur cerita, dan juga peranan cerita rakyat dalam pembentukan jati diri dan nilai sosial masyarakat setempat.
Bab pertama menjelaskan bahawa cerita rakyat Tanah Melayu merangkumi pelbagai bentuk termasuk mitos, legenda dan dongeng. Menurut penulis, cerita rakyat India, Jawa dan Timur Tengah merupakan pengaruh utama.
Selain Badang dan Si Tanggang, cerita rakyat popular lain termasuklah “Batu Belah Batu Bertangkup”, “Bawang Merah Bawang Putih”, “Musang Berjanggut”, dan “Singapura Dilanggar Todak”.
Bab ini menerangkan bahawa legenda, secara amnya, ialah cerita yang dianggap benar tetapi telah ditokok tambah.
Jenis-jenis legenda termasuk legenda perseorangan seperti legenda Hang Tuah dan Si Tanggang, dan legenda setempat iaitu cerita yang berhubung tentang sesuatu tempat seperti asal usul namanya.
Bab ini turut menjelaskan bahawa penglipur lara ialah orang yang menghiburkan hati sedih melalui cerita rakyat yang mempunyai unsur-unsur jenaka.
Secara umum, bab kedua hingga keempat menerangkan sejarah pelbagai jenis seni persembahan Melayu yang berkaitan dengan perkembangan cerita rakyat di Tanah Melayu seperti tarian menora, tarian hamdolok, wayang kulit, ulik mayang, mak yong, mek mulung, randai, wayang bangsawan, dan jikey.
Bab-bab ini turut menunjukkan perkembangan budaya melalui seni-seni tersebut dari segi busana, muzik dan peralatannya, gerak tari, dendangan, struktur persembahan dan lain-lain lagi.
Sebagai contoh, randai dipercayai bermula pada awal abad ke-20 hasil gabungan seni bela diri tempatan, penceritaan dan tradisi persembahan lain, dan telah bermula dari satu cabang seni masyarakat Minangkabau di Sumatra sebelum tersebar ke Negeri Sembilan di Malaysia dengan penghijrahan masyarakat Minang.
Pada awalnya, seni ini merupakan cara untuk menyampaikan cerita rakyat melalui gurindam atau syair yang dinyanyikan dan tarian yang diilhamkan daripada gerakan-gerakan silat. Ia terus berkembang lalu mengambil gaya perwatakan dan dialog seperti yang digunakan dalam sandiwara.
Bab kelima mengemukakan pelbagai versi cerita Badang dan Si Tanggang (ataupun Malin Kundang bagi masyarakat Minangkabau di Sumatra).
Jangan lepaskan peluang untuk menjadikan buku ini sumber berharga bagi memahami kekayaan budaya dan tradisi lisan dan persembahan masyarakat Melayu.
Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.
Tajuk: Legenda dan Cerita Rakyat Dunia Melayu: Kisah-kisah Penglipur Lara
Penulis: Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Penerbit: Hijjaz Records Publishing, 2025
Nombor Panggilan: Adult 398.209595 MAH
Pengulas: Toffa Abdul Wahed, Pustakawan, NLB
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.