Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: Kias: Antologi Certot Peribahasa

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Kias: Antologi Certot Peribahasa

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 23 Nov 2024 02:04PM Dikemas Kini : 23 Nov 2024 02:07PM
SINGAPURA: Peribahasa Melayu – khazanah ilmu yang merentasi zaman, tersimpul indah dalam untaian kata-kata ringkas namun sarat dengan makna.

Dalam peribahasa tersembunyi sindiran halus yang mampu menembusi jiwa insan lebih mendalam daripada mata pedang yang tajam.

Alam sekitar menjadi guru, mengajar manusia tentang kehidupan melalui kiasan yang bijaksana. Inilah dunia “Kias: Antologi Certot Peribahasa”, sebuah kumpulan karya yang menghidupkan semula dunia peribahasa.

Dalam koleksi certot (cerita kontot) ini, 32 pemenang Anugerah Guru Arif Budiman telah berjaya menyerlahkan makna peribahasa Melayu menerusi penghasilan kisah-kisah ringkas yang mengujakan.

Pendekatan ini berjaya menghidupkan semula peribahasa dalam konteks moden, membuktikan kerelevanannya dalam kehidupan kontemporari kita.

Setiap kisah merupakan sebuah pengembaraan tersendiri. Para pembaca akan menemui dunia di mana “ular menyusur akar tanpa kehilangan bisanya, belakang parang boleh menjadi tajam jika diasah dan rambut mungkin sama hitam, tetapi hati berlainan.”

Walaupun pendek, certot-certot ini padat dengan pengajaran, sama seperti peribahasa yang telah menanam inspirasi kepada para penulis. Setiap kisah disertakan dengan peribahasa di penghujungnya, membantu pembaca memahami konteks di sebalik kisah tersebut.

Maka, kepada para pencinta bahasa, pemburu kebijaksanaan, dan peminat sastera Melayu, "Kias" merupakan undangan untuk menjelajah dunia di mana teks memenarikan makna. Ia bukan sekadar buku untuk dibaca, tetapi warisan untuk dihayati. Ia seperti sebiji benih peribahasa yang ditanam dalam tanah subur imaginasi para penulis, bertunas menjadi pohon certot yang rendang dengan daun-daun kebijaksanaan dan buah-buah pengajaran.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Kias: Antologi Certot Peribahasa
Suntingan: Djohan A. Rahman
Penerbit: Kuala Lumpur: Unggun Creative, Singapura, 2024
Nombor Panggilan: Teen SING 899.283 KIA
Pengulas: Nur Fatin Afiqah Halim, Pustakawan Perpustakaan Rujukan Lee Kong Chian, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan