Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: Khai dan Singanya

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Khai dan Singanya

Buku bergambar “Khai dan Singanya”. (Gambar: NLB)

Diterbitkan : 10 May 2025 03:22PM Dikemas Kini : 10 May 2025 03:45PM
SINGAPURA: Selain perkembangan sosioemosi kanak-kanak, kesedaran tubuh badan juga merupakan perkara yang amat penting dan seharusnya diberikan perhatian sewajarnya oleh para ibu bapa serta golongan pendidik.

Ini kerana kesedaran tubuh badan sangat berkait rapat dengan keadaan emosi dan mental kanak-kanak. Kemampuan ini membolehkan mereka memahami lantas mengurus dengan baik keperluan fizikal serta emosi mereka sendiri.

Mereka akan dapat membina kemahiran serta keyakinan diri untuk menghadapi segala cabaran yang bakal dihadapi. Baik di rumah mahupun di sekolah, kanak-kanak sering berhadapan dengan pelbagai situasi yang membuat mereka diselubungi kerencaman perasaan - marah, kecewa, takut, cemas dan sebagainya.

Apakah yang boleh mereka lakukan untuk mengawal perasaan mereka dalam situasi sedemikian?

Buku bergambar “Khai dan Singanya” menceritakan tentang seorang kanak-kanak lelaki bernama Khai yang pada mulanya tidak tahu mengapa dan apa yang perlu dilakukan apabila perutnya mula berderum. Sangkanya, bunyi dari perutnya itu akan pergi jika beliau terus bermain.

Namun, perutnya terus menggeram dan menyinga, menyebabkan Khai hilang fokus lalu membuatnya pening dan letih. Akhirnya, Khai memahami apa yang ingin diberitahu oleh perutnya lantas mengambil langkah untuk memenuhi keperluan tubuh badannya sendiri.

Buku ini merupakan sebahagian daripada siri buku cerita bergambar “Perasaan Kita” yang menampilkan Khai dan pelbagai watak haiwan yang melambangkan perasaannya. Kesemua tajuk dalam siri terbitan Poppet ini ditulis oleh dua orang penulis yang sama iaitu Melissa Candrasaputra dan ‘Atikah Kamsani.

Sewaktu membaca bersama, kanak-kanak boleh diajak berbincang tentang apa yang difikirkan atau dirasai oleh watak-watak di kulit buku serta pada setiap muka surat.

Memahami dan menginterpretasi ilustrasi dari buku-buku bergambar akan membantu dalam pembinaan literasi visual mereka.

Selain itu, ibu bapa juga boleh menggunakan panduan di bahagian akhir buku ini untuk mengajukan beberapa soalan sewaktu dan selepas membaca. Nota rujukan turut dimuatkan bagi menerangkan secara ringkas tentang kesedaran tubuh badan serta amalan harian yang boleh dilakukan ibu bapa bersama dengan anak-anak mereka.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini serta tajuk lain dalam siri ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Khai dan Singanya
Penulis: Melissa Candrasaputra & ‘Atikah Kamsani
Penerbit: Singapura: Poppet, 2024
Nombor Panggilan: J SING CAN
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan