ePustaka: Ketika Ibu Bersedih

SINGAPURA: Demi membina perkembangan sosioemosi kanak-kanak yang sihat, ibu bapa digalakkan untuk mengajar anak-anak mereka tentang perasaan dan cara-cara menangani emosi sejak awal usia lagi.
Banyak buku bergambar yang boleh dijadikan sumber untuk membantu ibu bapa mengemudi usaha ini.
Namun begitu, bagaimana pula jika kanak-kanak menghadapi ibu atau bapa yang sedang mengalami emosi yang terganggu?
Apakah yang boleh mereka lakukan untuk menenangkan atau menghiburkan hati ibu bapa?
Buku bertajuk “Ketika Ibu Bersedih” ini mengajar kanak-kanak untuk mengesan tanda-tanda kesedihan pada diri seseorang. Menerusi watak Ibu dalam buku ini, seorang anak menceritakan bagaimana beliau tahu bahawa ibunya bersedih.
Contohnya, beliau melihat ibunya menitiskan air mata dan sering menyendiri tanpa berkata-kata. Beliau .juga mempelajari bahawa kesedihan adakalanya tidak dapat dikesan kerana tidak kelihatan pada riak wajah seseorang.
Menerusi penceritaan watak anak ini, pembaca kanak-kanak juga akan mempelajari bahawa kesedihan ibu dan ayah tidak dapat dihapuskan serta-merta oleh mereka.
Walau bagaimanapun, mereka boleh cuba untuk menyenangkan hati ibu atau ayah yang bersedih itu menerusi pelbagai cara seperti memberikan pelukan, menyeka air matanya yang mengalir dan menulis surat penuh berintikan kata-kata semangat.
Adakalanya, ibu atau ayah memilih untuk berdiam diri. Justeru, si anak hanya perlu menemani ibu atau ayah tanpa berkata apa-apa.
Daripada jalan cerita buku ini, kita dapat melihat betapa tingginya martabat seorang ibu dalam hidup anaknya. Anak itu mengibaratkan senyuman ibunya cantik seperti matahari pagi dan berdoa supaya kesedihan ibunya dihapuskan Tuhan.
Kata-kata yang menyentuh hati ini menunjukkan bahawa anak itu sangat menyayangi ibunya. Bahkan, dia tidak pernah berputus asa dalam usahanya untuk mengembalikan keceriaan kepada ibunya.
Penggunaan warna juga memainkan peranan dalam penyampaian jalan cerita.
Pada permulaan cerita, sebahagian besar ilustrasi dilukis menggunakan warna biru dan kelabu untuk menimbulkan rasa murung dan muram seperti perasaan yang dialami watak Ibu. Lama-kelamaan apabila watak Anak menceritakan bagaimana beliau cuba menghiburkan hati ibunya, penggunaan warna biru dan kelabu dikurangkan.
Sebaliknya, warna kuning mula menyerlah. Perubahan ini menandakan perubahan pada keadaan hati Ibu.
Emosi Ibu semakin beransur pulih setiap kali anaknya melakukan sesuatu untuk menyenangkan hatinya.
Walaupun perubahan warna dalam jalan cerita tidak ketara, kesannya agak besar dan sangat membantu dalam penyampaian cerita.
Jelas sekali, “Ketika Ibu Bersedih” mengajar kanak-kanak bahawa ibu bapa mereka juga boleh dilanda perasaan yang tidak diingini. Meskipun begitu, kanak-kanak memiliki kuasa untuk menenangkan dan memulihkan pergolakan dalam hati ibu bapa mereka.
Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.
Tajuk: Ketika Ibu Bersedih
Penulis: Athirah Mustadjab
Nombor Panggilan: J P MUS
Penerbit: Makassar: Pinisi Samudra Ilmu, 2024.
Pengulas: Nur Fitri Muhammad Syafran, Pustakawan Kanan, NLB
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.