Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Kelab Misteri Jam 3

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Kelab Misteri Jam 3

Buku Kelab Misteri Jam 3. (Gambar: NLB)

SINGAPURA: Pernahkah anda merasakan diri sedang diperhati dari sudut bilik yang kosong walaupun tiada sesiapa di situ?

Itulah aura “Kelab Misteri Jam 3”, di mana pada setiap Khamis minggu ketiga, tepat jam 3.00 petang, tiga sahabat — Linda, Hakim, dan Ian — berkumpul di dalam sebuah bilik darjah kosong.

Di situ, mereka bersaing untuk menentukan siapakah paling hebat bercerita kisah seram dan misteri. Sebanyak dua belas cerita dikongsi dan dinilai, dengan pemenang pada sesi itu dinobatkan sebagai Putera atau Puteri Misteri.

Novel karya Mimi Said ini mengimbau nostalgia siri “Mr. Midnight” dan rancangan TV “Are You Afraid of the Dark?” melalui struktur episodik dan pengakhiran yang mengejutkan. Namun, penulis telah menambah elemen tempatan serta gaya penceritaan segar, menjadikan setiap bab bukan sahaja menyeramkan tetapi juga dekat dengan pengalaman remaja di rantau ini.

Dalam kisah ketiga, “Teman Sebilik”, Ian menceritakan tentang dua rakan kolej yang tinggal serumah, Dahlia dan Sherry, yang memiliki peribadi yang berbeza seperti siang dan malam. Apabila gangguan misteri mula menghantui mereka, terpaksalah kedua-duanya belajar untuk saling memahami dan bekerjasama demi menewaskan entiti yang cemburu dengan keakraban mereka. Kisah ini menonjolkan kepentingan menghormati perbezaan peribadi demi menjalin persahabatan murni.

Dalam kisah keempat pula, “Semalam di Vila Misteri”, yang diceritakan oleh Linda, sepasang suami isteri terkandas di hutan dan menemui sebuah vila terpencil yang “terlalu sempurna”. Namun, kecurigaan timbul apabila mereka mendapati gambar-gambar peribadi mereka tergantung di dinding vila itu. Pengakhiran penuh kejutan kisah ini mengajak pembaca merenung sejauh mana manusia sanggup melakukan kejahatan demi memuaskan sifat tamak haloba.

Kisah kelima yang diceritakan oleh Hakim berjudul “Tolong Jangan Buat Bunyi” mengisahkan tentang Johan yang terlalu memikirkan tentang wang sehingga memilih untuk berjalan kaki pulang pada tengah malam. Beliau mengalami gangguan yang bukan sebuah ilusi — kejadian yang dialaminya langsung mengubah seluruh hidupnya. Kisah yang menyeramkan ini sarat dengan pengajaran - wang boleh dijimatkan, tetapi nyawa bukan sesuatu yang boleh dipertaruhkan.

Ciri istimewa buku ini ialah pembaca boleh menikmati setiap cerita secara tersendiri, seperti himpunan cerpen ataupun sebuah novel lengkap. Penggunaan bahasa yang mudah difahami untuk menyulam jalan cerita yang kreatif, “Kelab Misteri Jam 3” bukan sekadar bacaan hiburan — ia juga membuka minda remaja kepada pelbagai cara membina unsur suspens dan misteri dalam penulisan.

Penerapan unsur psikologi dan penggunaan watak-watak yang mudah dikaitkan dengan pembaca sasaran menjadikan buku ini satu pilihan yang baik untuk bacaan umum.

Tetapi, awas ya! Jika anda lemah semangat, jangan dibaca ketika malam pekat!

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut serta meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Kelab Misteri Jam 3
Penulis: Mimi Said
Nombor Panggilan: Malay Teen MIM
Penerbit: Kuala Lumpur: Kadokawa Gempak Starz, 2023
Pengulas: Nur Eliqah Ali, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita