Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Kebaya 2.0: Antologi Cerpen Minggu Penulis Remaja 2021

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Kebaya 2.0: Antologi Cerpen Minggu Penulis Remaja 2021
(Gambar: NLB)
Diterbitkan : 22 Nov 2025 09:20AM Dikemas Kini : 22 Nov 2025 09:45AM
  • Ketaksuban dengan adat resam dan menolak kemodenan menjadi hambatan kepada kemajuan pemikiran dan masyarakatnya.
  • Kamilah, seorang lulusan bidang fesyen dan rekaan dari London yang berasal dari kampung ini berusaha memecahkan pemikiran ibunya dan para penduduk kampung menerusi tindakannya yang menolak keras pegangan adat yang tidak berasaskan panduan agama.
  • Cerpen “Umair Hud” mengangkat kisah Umair yang mengalami kemurungan selepas kematian kedua ibu bapanya disebabkan kemalangan jalan raya hampir tujuh bulan lalu.
  • Antologi 20 cerpen yang dihasilkan para peserta Minggu Penulis Remaja (MPR), Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia ini menyerlahkan bakat dan kreativiti bidang penulisan para pesertanya.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Ketaksuban dengan adat resam dan menolak kemodenan menjadi hambatan kepada kemajuan pemikiran dan masyarakatnya.

Inilah yang berlaku dalam kalangan penduduk Kampung Gelama Kelam yang terakam dalam cerpen “Kebaya 2.0” karya AA Arif.

Daripada kepimpinan penghulu yang menolak dana menaik taraf kemudahan kampung hinggalah kepada para penduduknya yang menyalahkan pencawang internet sebagai punca pelbagai penyakit menjangkiti mereka, masa depan generasi mendatang di situ kelihatan malap.

Kamilah, seorang lulusan bidang fesyen dan rekaan dari London yang berasal dari kampung ini berusaha memecahkan pemikiran ibunya dan para penduduk kampung menerusi tindakannya yang menolak keras pegangan adat yang tidak berasaskan panduan agama.

Selain menolak ikatan perkahwinan paksa yang dirancang keluarga, beliau meninggalkan kediamannya untuk ke kota demi mengejar cita-cita.

Berkat kerjasama dengan sabahat baiknya, Alia, pakar bidang teknologi tekstil serta sokongan profesor pakar dalam bidang terkait, kedua-keduanya berjaya mewakili negara mereka di pertandingan Creative World Dubai.

Malahan, kebaya yang dihasilkannya menjuarai keseluruhan pertandingan.

Kejayaan mereka yang tersiar di muka depan akhbar sekali gus menjawab punca kehilangan Kamilah yang ingin keluar daripada kepompong pemikiran mundur ibunya dan para penduduk di kampungnya.

Cerpen “Umair Hud” mengangkat kisah Umair yang mengalami kemurungan selepas kematian kedua ibu bapanya disebabkan kemalangan jalan raya hampir tujuh bulan lalu.

Puncanya? Keinginan beliau sendiri yang mengharapkan mereka meninggal dunia agar dirinya mendapat perhatian. Proses penyembuhan yang dilaluinya berpaksikan keimanan dan sokongan emosi daripada adiknya.

Penyesalannya perlu ditukarkan dengan keinsafan dan kemahuan untuk membina peribadi murni.

Kematian dan kemiskinan sering menjadi penggerak karya. Dalam kisah “Kasih Tidak Ternilai”, Leman bertarung dengan kehidupan yang amat keras bagi membebaskan keluarganya daripada kedaifan.

Kematian ibu bapanya telah membebaninya untuk menjaga dua orang adik dan datuknya dalam kemiskinan. Ditambah pula dengan sikap guru yang pada mulanya tidak peka tentang kesengsaraan pelajar juga hampir menyebabkan Leman tumbang dalam juang.

Satu nasihat berharga dalam cerpen ini ialah remaja merupakan insan yang berperasaan. Mereka perlu menerima hakikat bahawa kesedihan dan kekecewaan adalah asam garam kehidupan.

Namun, mereka perlu kuat dan bangkit dengan sokongan pelbagai pihak. Golongan dewasa dan seusia di sekeliling individu sebegini berperanan besar dalam membantu mereka berdiri dan melangkah gagah meniti hari dengan keyakinan tinggi.

Antologi 20 cerpen yang dihasilkan para peserta Minggu Penulis Remaja (MPR), Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia ini menyerlahkan bakat dan kreativiti bidang penulisan para pesertanya.

Tema dan persoalan rata-ratanya mengisahkan alam remaja seperti persahabatan, kekeluargaan, kemasyarakatan dan harapan.

Justeru, naskhah ini amat disesuai dibaca khalayak sasarnya.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Kebaya 2.0: Antologi Cerpen Minggu Penulis Remaja 2021
Editor: Salina Ibrahim
Penerbit: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2025.
Nombor Panggilan: Teens Malay KEB
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita