Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Kami Berbeza, Kami Serupa 3

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buku ketiga dalam siri “Kami Berbeza, Kami Serupa” ini merupakan sebuah karya komik ringan yang sesuai untuk kanak-kanak berumur antara 9 hingga 12 tahun.

Dengan gaya penceritaan yang santai dan ilustrasi yang menarik, buku ini berjaya menarik minat pembaca muda untuk terus mengikuti setiap babak dengan penuh keseronokan.

Ia bukan sahaja menghiburkan, malah menyampaikan mesej-mesej positif yang mudah difahami golongan kanak-kanak.

Salah satu keistimewaan buku ini ialah cara ia menggambarkan watak kanak-kanak dengan sangat realistik. Watak-watak utama, Jack dan Raif, mencerminkan sifat-sifat semula jadi kanak-kanak seperti rasa ingin tahu dan kepolosan dalam kenakalan mereka.

Kebanyakan babak dalam buku ini berlaku di dalam bilik darjah ataupun persekitaran rumah mereka. Pendekatan ini menjadikan pembaca muda lebih mudah mengaitkan cerita dengan pengalaman sebenar mereka, sekali gus merasakan diri mereka lebih dihargai.

Unsur humor dalam buku ini sangat sesuai dengan tahap kefahaman kanak-kanak, terutamanya melalui gelagat lucu dan jenaka yang dibawa oleh Jack dan Raif.

Kelakuan nakal mereka yang penuh dengan kepolosan menjadikan mereka sangat mudah disukai dan diingati pembaca muda. Jenaka ringkas dan situasi yang menggelikan hati ini bukan sahaja menghiburkan, bahkan membuatkan cerita lebih menyeronokkan untuk diikuti.

Salah satu tema utama dalam buku ini ialah persahabatan erat antara Jack dan Raif. Terdapat beberapa bibit mengharukan yang menunjukkan betapa mereka saling menyokong antara satu sama lain.

Contohnya, ketika mereka sedang memerhati awan, Jack memberikan dorongan moral kepada Raif yang berasa dirinya kurang kreatif.

Dalam satu lagi babak, Jack dan Raif bekerjasama menghasilkan kad hari jadi untuk ibu bapa Raif kerana Raif tidak tahu hadiah yang sesuai untuk diberikan.

Hadiah yang sederhana itu ternyata sangat bermakna dan menyentuh hati ibu bapa Raif. Detik-detik ini memperlihatkan betapa indahnya nilai persahabatan dan kerjasama antara dua sahabat ini.

Bahasa yang digunakan dalam buku ini ringkas dan santai, menjadikan ia mudah difahami kanak-kanak. Walaupun begitu, penulis tetap mengekalkan tatabahasa yang betul dan penggunaan perkataan yang tepat, sekali gus membantu pembaca mempelajari kosa kata baharu secara tidak langsung.

Gaya bahasa yang mesra dan tidak terlalu rumit ini membolehkan kanak-kanak menikmati pengalaman membaca komik dengan lebih menyeronokkan sambil meningkatkan kemahiran bahasa mereka secara semula jadi.

Secara keseluruhannya, komik seperti ini sangat sesuai dijadikan bahan bacaan permulaan untuk menarik minat kanak-kanak yang kurang gemar membaca. Bahasa yang mudah difahami dan ilustrasi yang menarik serta tema-tema yang dekat dengan pengalaman harian mereka menjadikan buku bersiri ini lebih mudah diterima dan dinikmati pembaca muda.

Dengan pendekatan yang menyeronokkan dan tidak membebankan, buku ini mampu menanam minat membaca dalam kalangan kanak-kanak secara berperingkat dan berkesan.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Kami Berbeza, Kami Serupa 3
Penulis: LoongNeck
Nombor Panggilan: J LOO
Penerbit: Kuala Lumpur: Pinko Creative, 2024
Pengulas: Nur Fitri Muhammad Syafran, Pustakawan Kanan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita