Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: Jangan Buli Saya!

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kebelakangan ini, rakyat Singapura sering disentakkan dengan kes-kes pembulian di sekolah.

Bahkan, ada yang melibatkan murid-murid yang masih lagi di peringkat sekolah rendah!

Oleh itu amat penting untuk kita sebagai sebuah masyarakat bersama membincangkan isu ini dengan lebih serius sebelum ia menjadi lebih parah. Setiap lapisan masyarakat perlu terlibat dalam perbincangan ini, termasuklah generasi muda kita.

Khusus bagi golongan muda, salah satu cara mendekati isu ini ialah dengan menggunakan buku cerita. Melalui sebuah cerita, kita dapat mengupas dengan lebih mendalam tentang gejala buli serta penderitaan yang dialami oleh mangsa buli.

Beberapa pengalaman ini telah dirakamkan dalam buku cerita kanak-kanak “Jangan Buli Saya!”

Diterbitkan pada tahun 2023 dan dihasilkan oleh penulis dan ilustrator Basari Mat Yasit, buku ini mengisahkan tentang pengalaman seorang pelajar perempuan, Sara, yang menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar lelaki di sekolah yang sama.

Sara diejek mereka berterus-terusan kerana giginya yang rongak. Disebabkan tidak dapat bertahan lagi, Sara akhirnya mengambil keputusan untuk tidak ke sekolah. Mujur, Cikgu Amelia datang berjumpa dengan Sara di rumahnya untuk memberi perangsang. Dengan bantuan Cikgu Amelia dan guru besar sekolah, penderitaan Sara berakhir dengan para pembuli memohon maaf kepadanya. Akhirnya, Sara dapat kembali bersekolah dengan tenang.

Walaupun pada hakikatnya, setiap kes buli tidak akan berakhir secepat dan semudah itu, pastinya buku ini boleh dijadikan alat literasi serta panduan buat mendidik anak-anak kita mengenal pasti dan mengatasi kes buli.

Para pembaca juga boleh mengembangkan pemikiran mereka terhadap isu-isu berkaitan gejala buli, pembentukan peribadi, serta pentingnya membela nasib mereka yang menjadi mangsa buli.

Melalui watak-watak dalam cerita, pembaca akan dapat mengaitkan kisah yang diceritakan dengan pengalaman serta lingkungan mereka sendiri. Ini membantu mereka membina sikap kritis terhadap watak yang menganiayai, menanam sikap empati terhadap watak yang teraniaya, serta membangunkan kesedaran tentang keperibadian mereka sendiri.

Ibu bapa serta pendidik pula boleh memainkan peranan dengan mengajak anak-anak dan para pelajar berbincang bersama tentang gejala buli.

Mengambil contoh daripada buku ini, mereka boleh membicarakan tentang bagaimana pembulian memberi kesan mendalam kepada mangsa termasuklah hilang fokus pada pelajaran serta timbulnya rasa fobia untuk ke sekolah. Perbincangan juga perlu merangkumi cara dan usaha bagi membantu mengubah sikap pembuli menjadi baik.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.


Tajuk Buku: Jangan Buli Saya!
Penulis: Basari Mat Yasit
Penerbit: Putrajaya: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), 2023
Nombor Panggilan: J BAS
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan