Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Inspirasi Sahabat Sampai Syurga

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Komik mesra keluarga ini dihasilkan penulis, Yaya Okita, bagi mengenang semula pengalaman bersama rakan-rakan sekolahnya hingga ke peringkat universiti.

Ia merupakan cara beliau merakam teguran, nasihat dan impian yang mereka kongsi bersama, sekali gus menyuntik inspirasi kepada pembaca untuk menghargai erti persahabatan dalam kehidupan.

Bebanan tanggungjawab menjaga ibunya pada usia 18 tahun dirahsiakan daripada khalayak teman dan guru di sekolahnya. Luahan keperitan perasaannya hanya diluahkan dalam bentuk penulisan dalam buku nota.

Penemuan minat beliau oleh sabahatnya, Zana, membuka lembaran baharu dalam kehidupannya. Zana mewujudkan peluang penulis menyerlahkan bakatnya dengan menghasilkan skrip drama untuk dipentaskan sempena Hari Kemerdekaan selain terlibat secara aktif dalam kegiatan seni persembahan di sekolah.

Kehadiran Zana dalam hidup penulis meningkatkan semangatnya untuk berkarya secara aktif, lebih jelas tentang matlamat menulis dan mendekatkan dirinya kepada Tuhan. Bahkan, bidang penulisan ini yang menjadi mekanisme daya tindak (coping mechanism) bagi mengimbangi kemurungan yang dialaminya akibat pengurusan masalah keluarga, pelajaran, kewangan dan bekerja sambilan.

Zana berterusan membantu penulis mengarahkan pemikiran penulis kepada perkara lebih utama dalam kehidupan, iaitu menghadapi kematian. Setiap masa perlu dimanfaatkan untuk mencipta memori bererti dalam kalangan insan-insan yang dicintai.

Salah satu caranya ialah aktif beraktiviti semasa sedang bersekolah kini kerana, alam pengajian di universiti atau pekerjaan, banyak hambatan untuk menjayakan perkara yang sama.

Apabila Zana mendapat tahu tentang keperitan penulis yang perlu menjaga ibunya yang kini lumpuh serta ayahnya yang juga sakit, beliau berjaya menjalankan kutipan derma untuk meringankan beban penulis.

Tatkala penulis menghadapi kematian kedua ibu dan ayahnya, Zana terus meniupkan semangat penulis walaupun mereka tidak lagi satu sekolah. Bahkan, Zana mengucapkan penghargaannya kepada penulis kerana menyedarkannya untuk selalu bersabar dan tidak cepat mengeluh apabila ditimpa ujian.

Janji penulis untuk menyiapkan novel buat tatapan Zana tidak dapat disempurnakan kerana sahabatnya telah berpulang. Saat sebegini menjadikan penulis marah kepada diri sendiri dan hampir berputus asa kerana beliau tidak ada lagi apa-apa untuk dicapai untuk membanggakan insan yang menghargai kewujudan dirinya.

Keadaan ini menjadi antara punca utama beliau lebih kerap dirawat di hospital kerana relaps penyakit kemurungan.

Pada waktu-waktu begini penulis mula mengenali “siapa teman, siapa lawan”. Dalam situasi begini juga penulis mula akrab dengan seorang pemuda berpenyakit kanser “bermulut laser”. Berbeza dengan teman-teman lain, pemuda ini mendorong penulis menghadapi kenyataan, bersedia menyemak kekuatan diri, bangkit berani melawan kemurungan dan memanfaatkan masa melakukan sesuatu yang disenangi.

Ternyata komik ini sesuai dibaca golongan remaja kerana pengalaman penulis mungkin banyak dilalui oleh golongan pembaca sasar. Setiap ujian yang menimpa pasti disertakan dengan manual menghadapinya.

Jalinan persabahatan yang jujur dan baik dapat membantu. Panduan tentang positiviti beracun dan validasi emosi di bahagian akhir komik ini juga amat berguna dalam menghadapi dan merawat tekanan.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Inspirasi Sahabat Sampai Syurga
Penulis: Yaya Okita
Nombor Panggilan: Teen 741.59595 BES [CMX]
Penerbit: Kuala Lumpur: Irfan Foner Studio, 2025.
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita