ePustaka: Hikayat Merong Mahawangsa: Karya Agung dalam Sejarah Kesultanan Kedah
(Gambar: NLB)
BERITAmediacorp: Para penggemar filem Melayu tentunya sudah menonton filem epik Hikayat Merong Mahawangsa yang diterbitkan pada tahun 2011.
Yang lebih berumur mungkin masih ingat filem-filem klasik hitam putih Anak Buloh Betong dan Raja Bersiong yang dihasilkan pada tahun 1960-an.
Tahukah anda kisah-kisah yang dipaparkan dalam filem-filem tersebut dicedok daripada sumber asal yang dikenali sebagai Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) yang merakamkan asal usul raja-raja Kedah dan penubuhan negeri tersebut?
Apakah lagi yang boleh digali daripada HMM?
Walaupun sudah dimartabatkan sebagai sebuah karya agung Melayu, apakah kita sudah cukup maklum akan kandungan yang termaktub di dalam hikayat ini?
Buku Hikayat Merong Mahawangsa: Karya Agung dalam Sejarah Kesultanan Kedah mengetengahkan 12 kajian yang berbeza tetapi berkait dengan HMM oleh 12 orang penyelidik termasuk Noridah Kamari, seorang penggiat sastera Singapura.
Noridah membincangkan usaha penelitian HMM sejak zaman penjajahan hingga selepas zaman kemerdekaan dan bagaimana kedudukan teks tersebut berubah menjadi penting atau sebaliknya turut dipengaruhi usaha para sarjana dan keprihatinan pihak berkuasa.
Kajian lain yang dimuatkan dalam buku ini menonjolkan pendekatan berbeza-beza yang digunakan oleh para penyelidik untuk membicarakan pelbagai aspek yang bersangkut paut dengan HMM.
Umpamanya, Ahmad Farhan Abdullah membicarakan aspek sejarah dan Salmah Jan Noor Muhammad pula menyorot aspek pengajaran moral dalam HMM.
Sementara itu, Zubir Idris menyingkap unsur budaya yang beliau amati dan Saifullizan Yahaya pula menyentuh unsur alegori yang digunakan dalam HMM.
Ruang untuk mendekati HMM dari sudut yang berbeza membuktikan keperkasaan karya itu yang mampu menggembleng pelbagai unsur penceritaan untuk merakamkan sejarah, budaya dan ilmu bangsa Melayu.
Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi mendapatkan buku ini di perpustakaan NLB.
Tajuk: Hikayat Merong Mahawangsa: Karya Agung dalam Sejarah Kesultanan Kedah
Editor: Jelani Harun dan Saifullizan Yahaya
Penerbit: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2022
Nombor Panggilan: Malay 959.51 HIK
Pengulas: Mazelan Anuar, Pustakawan Kanan, NLB
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.