Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: Hijrah 'Mat Som' ke bandar padat dengan nilai positif kehidupan

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Mat Som merupakan seorang anak muda yang sedang mencari arah tujuan hidup di kota serba moden yang pesat berkembang. 

Pengalaman hidup Mat Som yang terakam di dalam komik ini dapat dikaitkan dengan kisah peribadi ramai pembaca yang seusia dengannya. 

Percampuran rencah lucu, empati dan simpati menjadikan karya ini “bernyawa” dengan rakaman nostalgia.

Walaupun komik merupakan bacaan ringan, kisah Mat Som sarat dengan pengajaran. Banyak nilai positif yang dapat kita raih daripadanya. 

Antaranya, belajar menghargai pengorbanan ibu bapa. 

Namun, pada waktu yang sama, bijaksanalah dalam menuruti perintah mereka. 

Sebagai anak muda, kita perlu bekerja keras dan akui kepentingan motivasi demi memperbaiki diri. 

Paling utama, tanpa mengira di mana kita berada, sifat berperikemanusiaan dan saling menghormati perbezaan pegangan menjamin kesejahteraan kehidupan.

Pembaca juga diperlihatkan perbandingan antara kehidupan di kota dan di desa. 

Pengalaman Mat Som merakam perbualan sekumpulan pemuda ketika dalam perjalanan pulang ke kampung dengan menaiki kereta api menunjukkan perbezaan sikap dan pemikiran masyarakat kota dan desa terhadap nilai sejarah bangsanya.

Salah satu faktor yang sangat unik di dalam komik ini ialah penggunaan sajak dan lirik lagu di bahagian tertentu cerita. 

Salah satu daripadanya merupakan lirik lagu “Orang Kota” nyanyian Ramli Sarip. 

Di akhir cerita, lirik ini dipaparkan sebagai simbol ironi insan yang ke kota untuk membina kehidupan walhal tempat ini penuh dengan cabaran ketidaktentuan. 

Sila kunjungi laman katalog NLB di https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam komik ini di perpustakaan awam kami.

Tajuk: Mat Som
Penulis/Editor: Lat
Penerbit: MPH Group Publishing Sdn Bhd, 2016
Nombor Panggilan: Malay 741.59595 LAT
Pengulas: Ashiqin Ramadan, Pustakawan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan