ePustaka: Helena & Encik Serigala 01
“Helena & Encik Serigala 01” ialah sebuah komik yang ringkas tetapi menyentuh perasaan, mengangkat daya imaginasi dan kreativiti sebagai jalan untuk melarikan diri daripada realiti, serta jambatan antara hati yang terluka.
(Gambar: NLB)
Helena, seorang budak perempuan yang hidup dalam suasana penuh kekurangan dan kesunyian, menemui kekuatan melalui dunia cerita dan lukisan.
Sebagai penghuni rumah anak yatim, Helena bergelut dengan rasa kehilangan dan ketidakpastian, lebih-lebih lagi setelah adiknya, Arthur, terlibat dalam kemalangan dan tidak sedar diri. Hari-harinya diwarnai sepi, namun dia tetap tabah, menggunakan cerita rekaan untuk memberi harapan kepada dirinya sendiri.
Bagi Helena, buku bergambar dan komik bukan sekadar hiburan - ia menjadi pelarian emosi dan juga bahasa untuk menyampaikan apa yang tidak mampu diucapkan.
Suatu hari, nasib menyebelahinya apabila dia berpeluang menghadiri sesi autograf penulis kegemarannya, Encik Serigala - seorang penulis misteri yang sentiasa memakai topeng kepala serigala. Wataknya tampak garang dan tidak mesra, namun secara perlahan-lahan, pembaca didedahkan dengan sisi lain dirinya yang lebih sensitif.
Pertemuan yang kelihatan biasa itu akhirnya menumbuhkan satu persahabatan yang unik - antara Helena dan Encik Serigala, serta orang sekeliling mereka termasuk rakan-rakan Helena di rumah anak yatim dan editor Encik Serigala yang sangat penyabar.
Hubungan mereka tidak romantik, malah lebih menyerupai ikatan abang dan adik - terjalin melalui minat yang sama dan luka yang tersembunyi.
Watak Encik Serigala yang selalunya sinonim dengan watak jahat dalam dongeng diberi nafas baru - bukan suatu ancaman, tetapi sebagai seorang yang juga ingin menggapai harapan.
Tema kehilangan, kesedihan dan pencarian makna diri disampaikan dengan kepekaan dan kehalusan yang boleh menyentuh hati pembaca muda mahupun dewasa.
Komik ini turut membawa mesej penting - bahawa buku bergambar dan komik bukan hanya untuk kanak-kanak. Ia boleh menjadi ruang refleksi, medium bernafas, dan kadang-kadang, tempat untuk kembali menjadi diri sendiri.
Walaupun ceritanya berakhir secara tergantung, pembaca tidak perlu bimbang kerana sambungannya tersedia dalam jilid kedua.
Nikmatilah komik yang ringkas tetapi mendalam sentuhannya kepada jiwa - umpama kisah dongeng moden yang mengubat hati yang sunyi.
Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.
Tajuk: Helena & Encik Serigala 01
Penulis: BliSS
Nombor Panggilan: Y 741.5951249 BLI [CMX]
Penerbit: Kuala Lumpur: Kadokawa Gempak Starz, 2024
Pengulas: Nur Eliqah Ali, Pustakawan, NLB
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.