Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Hari Istimewa Afia

Jika anda mencari bahan bacaan untuk memperkenalkan adat dan budaya Melayu kepada kanak-kanak prasekolah hingga darjah rendah, buku bergambar “Hari Istimewa Afia” merupakan pilihan yang amat disarankan untuk anda!
 

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jika anda mencari bahan bacaan untuk memperkenalkan adat dan budaya Melayu kepada kanak-kanak prasekolah hingga darjah rendah, buku bergambar “Hari Istimewa Afia” merupakan pilihan yang amat disarankan untuk anda!

Karya Mia Ra’ad, seorang guru Bahasa Melayu yang berpengalaman ini, membawa pembaca muda menyelami suasana majlis mencukur rambut bayi baru lahir daripada kaca mata seorang budak lelaki yang kali pertama menerima kehadiran seorang adik dalam keluarganya.

Pelbagai acara yang dilakukan sepanjang hari istimewa ini, seperti mencukur rambut bayi, bacaan doa serta jamuan makan berdulang, yang disaksikan budak lelaki ini dengan rasa penuh ingin tahu. Banyak soalan yang bermain di fikirannya.

Contohnya, apabila dia melihat bapanya memegang gunting, timbul persoalan tentang apa yang bakal dilakukan bapanya terhadap adiknya. Begitu juga apabila dia ternampak bunga rampai yang diletakkan dalam bakul-bakul kecil, dia tertanya untuk siapa bunga rampai itu disediakan.

Soalan-soalan seperti ini membuka ruang kepada orang dewasa yang membaca bersama untuk menggalakkan kanak-kanak berfikir dan melibatkan diri secara aktif dalam pembacaan. Dengan wujudnya elemen interaktif ini, sesi membaca akan menjadi lebih menyeronokkan, sekali gus memperkaya pengalaman pembelajaran kanak-kanak.

Selain memperkenalkan amalan mencukur rambut bayi yang baru lahir dalam masyarakat Melayu, buku ini turut memberi peluang kepada ibu bapa dan pendidik mengupas pelbagai topik sampingan.

Contohnya, para tetamu hadir mengenakan pakaian tradisional seperti baju Melayu lengkap dengan samping, songkok, dan kain pelekat. Ibu bapa dan pendidik boleh menggunakan peluang ini bukan sahaja untuk memperkenalkan jenis pakaian tradisional Melayu, malah juga untuk menerangkan fungsi dan sejarah di sebalik pemakaiannya kepada kanak-kanak.

Topik perbincangan lain yang boleh diketengahkan ialah amalan kenduri-kendara sempena majlis istimewa. Sewaktu membaca bersama, ibu bapa dan pendidik boleh mengarahkan tumpuan kanak-kanak kepada ilustrasi makanan Melayu yang berwarna-warni dan pelbagai jenis.

Luangkan masa untuk menerangkan tentang adab semasa makan yang dipaparkan dalam buku ini, seperti menggunakan tangan kanan dan duduk dengan sopan semasa menikmati hidangan.

Buku ini turut dilengkapi dengan senarai kosa kata di bahagian akhir bagi rujukan pembaca muda. Nota khas untuk guru dan ibu bapa juga disediakan sebagai panduan untuk mengajukan beberapa soalan sewaktu membaca. Pendek kata, buku ini amat sesuai untuk dibaca oleh ibu bapa bersama anak-anak di rumah mahupun sebagai bahan pengajaran di dalam bilik darjah.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk Buku: Hari Istimewa Afia
Penulis: Mia Ra’ad
Penerbit: Singapura: Booku, 2021
Nombor Panggilan: J SING MIA
Pengulas: Sakinah Yusof, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita