Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Hari-Hariku di Kedai Buku Morisaki

Di celah-celah lorong Jinbōchō, tersembunyi sebuah kedai buku kecil yang bukan sahaja menyimpan buku-buku lama, tetapi juga kisah-kisah hati yang pernah retak.

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Hari-Hariku di Kedai Buku Morisaki

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 28 Jun 2025 04:54PM Dikemas Kini : 28 Jun 2025 04:57PM
SINGAPURA: Di celah-celah lorong Jinbōchō, tersembunyi sebuah kedai buku kecil yang bukan sahaja menyimpan buku-buku lama, tetapi juga kisah-kisah hati yang pernah retak.

“Hari-hariku di Kedai Buku Morisaki”, sebuah novel terjemahan daripada Bahasa Jepun, membawa pembaca menyusuri dunia yang nampak tenang pada zahirnya, namun penuh dengan pergolakan jiwa dan pengajaran daripadanya.

Dunia watak utama, Takako, berubah sepenuhnya apabila kekasihnya mengumumkan beliau akan berkahwin dengan orang lain. Dalam duka dan keputusasaannya, Takako menerima tawaran bapa saudaranya, Satoru Morisaki, untuk tinggal secara percuma di bilik kecil di atas kedai bukunya.

Kedai buku yang telah menjadi warisan keluarga selama tiga generasi itu menjadi tempat perlindungan daripada keresahan dan permulaan hidup baharu untuk Takako.
Pada mulanya, Takako melihat kedai buku itu sebagai tempat yang sunyi dan membosankan.

Namun, tanpa disangka, dia mula menemui dunia baharu di sebalik tompokan buku-buku lama yang memenuhi ruang kedai tersebut.

Walaupun jarang membaca sebelum ini, Takako mula terpikat dengan ketenangan dan keajaiban yang terakam pada helaian-helaian muka surat buku-buku itu. Dari musim panas ke musim luruh, Takako dan Satoru sama-sama belajar bahawa buku-buku itu berbicara dengan mereka tentang cinta dan kuasa penyembuhan daripada lara dan duka.

Selain hubungan dengan bapa saudaranya, Takako turut menemui persahabatan di luar jangkaan dalam kalangan pelanggan dan penduduk tempatan yang kerap mengunjungi kedai buku tersebut.

Lama-kelamaan, beliau mula merasai kehangatan hubungan manusia yang telah lama hilang, dan persahabatan itu menjadi sumber kekuatan dan harapan baharu dalam hidupnya. Sekali gus, membantunya membina semula makna kehidupan.

Satoshi Yagisawa menulis dengan nada yang tenang dan penuh kehalusan. Novel ini mengingatkan kita betapa pentingnya menjadi sebahagian daripada masyarakat dan memiliki hubungan yang bermakna kerana kita tidak mampu bertahan bersendirian.

Selain itu, buku ini menunjukkan betapa amalan membaca buku boleh memberi kesan mendalam dalam kehidupan seseorang.

Walaupun watak-watak dalam novel ini kadangkala terasa kurang dibentuk sepenuhnya, mungkin itu merupakan cara Yagisawa menonjolkan betapa kompleks dan misterinya manusia — bagaimana kita boleh hidup bersama seseorang selama bertahun-tahun tanpa benar-benar memahami isi hati mereka.

Jika anda mencari cerita penuh kejutan atau pengakhiran yang indah, mungkin anda perlu bersiap sedia untuk sesuatu yang lebih realistik dan di luar jangkaan.

Namun, pembaca akan mendapat jawapan daripada beberapa persoalan yang timbul dalam novel ini menerusi sekuelnya yang diharapkan akan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu tidak lama lagi.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Hari-Hariku di Kedai Buku Morisaki
Penulis: Yagisawa, Satoshi
Nombor Panggilan: YAG
Penerbit: Petaling Jaya, Selangor : Biblio Press, 2024
Pengulas: Nur Eliqah Ali, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita