Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: Gelanggang Perniagaan Orang Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Gelanggang Perniagaan Orang Melayu

Gambar: NLB

Diterbitkan : 31 Dec 2022 08:50PM Dikemas Kini : 31 Dec 2022 10:27PM
BERITAmediacorp: Buku dwibahasa yang mendokumentasikan kehidupan di persekitaran Geylang Serai ini mesti dibaca oleh golongan remaja yang ingin tahu tentang sejarah kehidupan di kawasan ikonik masyarakat Melayu suatu masa dahulu.

Ikutilah rakaman nostalgia bersejarah yang dikongsikan oleh Nenek Fatimah dengan cucunya, Nuraini, khususnya tentang perniagaan orang Melayu di sana. Antaranya, perniagaan songkok, buku, cermin mata, makanan dan pakaian.

Perniagaan songkok yang diusahakan Allahyarham Abdullah Haji Samad bermula pada 1967 di Geylang Serai sebelum diteruskan oleh anaknya, oleh Encik Abdul Wahab Abdullah yang kemudiannya membuka kedai di Tanjong Katong Complex pada 2003.

Tempahan bagi songkok beliau yang menggunakan ‘cap beca’ laris ketika menjelang Aidilfitri.

Pandemik pada 2019 mendorong kedainya memulakan perniagaan dalam talian juga.

Kedai buku juga menyerikan Geylang Serai. Toko Wijaya yang diusahakan oleh Haji Mustapa Puteh mula beroperasi di 1025, Geylang Road pada 1960. Ia berpindah ke Joo Chiat Complex pada 1984 sebelum mengakhiri perniagaannya pada Oktober 2016.

Kedai Buku Haji Hashim yang dibuka di Arab Street pada 1922 kemudian membuka sebuah kedai yang berjiran dengan Toko Wijaya pada 1968.

Pustaka Nasional menyusul pada 1969 dengan perniagaannya terus rancak hingga ke hari ini.

Kedai cermin mata Bustami Optical House yang dibuka Haji Buslami Karim Amarullah pada 1959 amat terkenal dalam kalangan mereka yang memerlukan cermin mata. Walaupun asalnya berniaga songkok selama 10 tahun, beliau mengambil keputusan untuk mendalami ilmu cermin mata daripada rakan-rakan peniaga Cina apabila mendapati tiada pakar gigi dan cermin mata dalam kalangan orang Melayu di Singapura.

Perniagaannya tidak diteruskan setelah beliau berpulang pada 1993.

Karipap dan roti Perancis sinonim dengan Geylang, lebih tepat lagi di Onan Road. Kedai Indian Muslim Bakery and Confectionary yang ditubuhkan pada 1942 oleh Allahyarham Shaik Jan Bux Shaik Jamidar ikonik dengan perniagaan kedua-dua jenis makanan ini.

Pada waktu dahulu, semua roti di kedai itu diuli dengan tangan sebelum peralatan elektrik mula digunakan untuk pemprosesannya sekitar tahun 1995.

Kacang pul Haig Road, tahu goreng Wak Siput, mi rebus Wak Kacong dan gandus Wak Gandus merupakan antara makanan yang dicari pelanggan di kawasan Geylang Serai. Restoran Hawa yang menjual makanan ala-Cina dan Restoran Afghanistan turut menjadi tumpuan ramai.

Kehadiran para artis Melayu seperti Wak Jasni dan Rokiah Wanda yang berkumpul di lokasi tertentu di kawasan Geylang Serai turut “menghidupkan” kawasan itu.

Tahukah anda bahawa pelakon terkenal era 60-an, Allahyarham Ibrahim Pendek, pernah membuka kedai di Geylang Arcade.

Berikutan penutupan Malay Film Production pada 1967, impiannya untuk menjadi usahawan menjadi kenyataan. Antara barangan jualannya termasuk kasut dan tali pinggang yang diimport dari negara Barat.

Bahkan, beliau turut mengeksport barangannya ke Malaysia dan Brunei.

Kedai Jasa Perwira merupakan kedai jahit anak Melayu yang dibuka pada 1964 oleh Mohamed Plemping, anak kelahiran Pontian, Johor.

Kedai ini mengambil tempahan pakaian kebangsaan dan kebudayaan Melayu. Antara pelanggannya termasuk Allahyarham Adam Malik, mantan Timbalan Presiden Indonesia ketika itu.

Bacalah buku ini untuk menyelami lebih lanjut tentang perniagaan anak bangsa di Geylang Serai suatu masa dahulu.

Anda boleh lungsuri laman katalog NLB, https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan awam.

Tajuk: Geylang Serai: Gelanggang Perniagaan Orang Melayu = Business Arena of the Malays
Penulis: Dewani Abbas
Penerbit: Singapura: Wisma Geylang Serai, 2022.
Nombor Panggilan: YSING Malay 959.57 DEW
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan