Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Facespook

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Facespook

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 21 Jun 2025 01:53PM Dikemas Kini : 21 Jun 2025 01:54PM
SINGAPURA: Anda peminat cerita ngeri (thriller) yang berkisar teknologi? Jika benar, novel ini amat sesuai untuk anda!

Novel ini mengisahkan tentang Qazali, seorang remaja berusia 16 tahun yang “ketagih” berkomunikasi di media sosial, Facebook.

Setiap suatu kejadian yang mengesankan dirinya akan dikongsi di laman peribadinya itu. Ini termasuklah menyindir si pembuli di sekolahnya, Darius Mikail, yang ketakutan di makmal komputer sehingga berlaku kejadian yang amat mengaibkan dirinya. Kebencian Qazali terhadap kucing jirannya, Jimbo, yang sering mengotori kasut sekolahnya, turut mendapat kutukan keras di akaun Facebooknya.

Anehnya, kebencian terhadap kedua-dua makhluk yang dicatatkan di akaun media sosialnya pasti disusuli dengan tragedi seperti apa yang beliau harapkan. Darius Mikail cedera parah akibat kemalangan dan Jimbo maut dilanggar kejam sebuah kenderaan selepas matanya dibutakan oleh suatu kejadian.

Peristiwa ini mula berlaku selepas Qazali mengenali Lisa Mary Holmes atau Lisa di Facebook. Lisa, gadis kacukan Melayu Inggeris yang seumur dengannya sering memberi reaksi positif bagi setiap catatan yang dimuat naik Qazali di akaun peribadinya.

Hubungan antara kedua-duanya semakin akrab dari hari ke hari kerana Lisa memberikan perhatian sangat mendalam terhadap Qazali. Selain selalu memuji Qazali, Lisa juga prihatin terhadap perasaan Qazali tentang setiap perkara yang dialaminya. Bagi membuktikan “cintanya” kepada Qazali, Lisa telah mengirimkan hadiah-hadiah kepada Qazali. Ini membuak-buakkan gelora cinta Qazali terhadap Lisa.

“Ketagihan” Qazali dengan hubungan ini, mengakibatkan fokus beliau kepada pelajaran semakin menjuman. Beliau mula ponteng kelas kerana seronok bersembang di alam maya dengan Lisa di dalam makmal komputer sekolahnya. Keadaan fizikalnya juga kurang terjaga - matanya semakin bengkak dan sembab, muka cengkung dan rambut kusut masai.

Akhirnya, impian Qazali bertemu dengan Lisa menjadi kenyataan. Namun, pada malam itu, kebenaran tentang Lisa terungkap jua. Ketika melakukan pencarian foto terkini Lisa di laman Google, Qazali terjumpa laporan berita tentang kematian Lisa! Pada waktu itu, Lisa sudah berada di hadapan rumahnya!

Apakah yang terjadi seterusnya? Siapakah “Lisa” sebenarnya? Mampukah Qazali bersemuka dengan “Lisa” yang selama ini menjadi idaman hatinya?

Namun, paling utama, novel “technology thriller” ini sarat dengan pengajaran khususnya tentang bahaya penggunaan media sosial hari ini.

Antara pesanan penting yang disampaikan penulis ialah, golongan remaja perlu sentiasa berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat peribadi kepada mereka yang tidak dikenali atau diragui di media sosial.

Bagi golongan ibu bapa pula, novel ini turut mengingatkan mereka agar peka dan prihatin terhadap kegiatan online anak-anak mereka. Pemantauan berterusan perlu dilakukan supaya jenayah siber tidak memangsakan ahli keluarga yang tidak berdosa.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Facespook
Pengarang: The Ghostwriter
Penerbit: [Malaysia]: Blank Book, 2023.
Nombor Panggilan: Teens Malay GHO
Pengulas: Herman Rothman Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita