Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: Duo Penguin

Dilahirkan sebagai adik-beradik kembar merupakan suatu anugerah istimewa!

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dilahirkan sebagai adik-beradik kembar merupakan suatu anugerah istimewa!

Sayangnya, kisah kehidupan pasangan adik-beradik kembar jarang diceritakan dalam sastera kanak-kanak. Pastinya kehidupan sepasang saudara kembar diwarnai dengan pelbagai adegan menarik, baik yang lucu mahupun sebaliknya, dek kemiripan mereka yang sering menimbulkan kekeliruan.

Isu kekeliruan inilah yang dipaparkan di dalam buku bergambar “Duo Penguin” yang ditulis oleh penulis mapan Eva Nukman dan diilustrasi oleh Rizqia Sadida.

Ia mengisahkan tentang dua ekor adik-beradik penguin yang baru tiba di taman haiwan. Masalah mula timbul apabila haiwan-haiwan lain tidak dapat membezakan antara mereka berdua, lalu terjadilah pelbagai adegan yang melucukan.

Penyelesaian yang dicapai di pertengahan cerita malah telah menimbulkan masalah baru!

Satu pengajaran baik daripada cerita ini diperolehi di akhir cerita apabila anak ayam, watak kerdil yang sering diperkecilkan, berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapi kedua-dua penguin tersebut. Ia menunjukkan bahawa kebolehan seseorang dalam memahami dan menyelesaikan masalah tidak bergantung kepada umur, bentuk fizikal mahupun darjat. Kita mesti menghormati kemampuan setiap insan dan memberikan mereka ruang untuk menyumbang dalam menghuraikan sesuatu masalah.

Buku bergambar ini sangat sesuai dibaca bersama secara lantang dengan kanak-kanak yang berumur 4 hingga 9 tahun. Selain mengenali haiwan-haiwan yang terdapat di taman haiwan, kanak-kanak juga boleh diperkenalkan kepada objek-objek seperti selendang dan kulit kerang.

Penceritaan akan menjadi lebih senorok jika dibaca dengan intonasi suara haiwan yang berbeza. Luangkan masa untuk berbual bersama kanak-kanak tentang ilustrasi di setiap muka surat.

Sewaktu melakukan kegiatan membaca bersama, ibu bapa serta pendidik boleh mengarahkan tumpuan kanak-kanak kepada ilustrasi wajah watak-watak haiwan dan berbincang dengan mereka tentang apa yang difikirkan atau dirasai oleh watak-watak tersebut.

Ilustrasi di beberapa muka surat yang tidak dijelaskan di dalam teks, seperti contoh telatah Bib, si anak ayam yang sering tersandung, merangsang kekreatifan kanak-kanak untuk menghasilkan cerita sendiri tentang kejadian yang berlaku.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminja buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk Buku: Duo Penguin
Penulis: Eva Nukman
Penerbit: Indonesia: Yayasan Litara, 2022
Nombor Panggilan: J P NUK
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan