Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: Dari Sebuah Kamar sorot 11 karya papar kehidupan seharian

Membaca merupakan amalan bermakna bagi mengisi masa sepanjang perjalanan ke tempat kerja.

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Dari Sebuah Kamar sorot 11 karya papar kehidupan seharian

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 01 Jan 2022 10:37PM Dikemas Kini : 01 Jan 2022 11:00PM

BERITAmediacorp: Membaca merupakan amalan bermakna bagi mengisi masa sepanjang perjalanan ke tempat kerja.

Demi memudahkan pergerakan, buku yang comel dan diyakini memberi kepuasan menekuninya menjadi pilihan utama.

Salah satu buku yang molek dipertimbangkan untuk tujuan ini ialah kumpulan cerpen Dari Sebuah Kamar karya Sumadi Sarkawi.

Buku setipis 126 muka surat ini menghidangkan 11 karya yang memerihalkan kehidupan seharian kita.

Tiadalah yang berunsur futuristik, magis, fiksyen sains kecuali cerpen Apabila Sang Keluang dan Kelawar Bersidang yang mengisahkan tentang satu mesyuarat haiwan-haiwan yang difitnah sebagai penyebab wabak yang mula menular di Wuhan.

Pembaca dapat menghabiskan bacaan buku ini kurang dari sejam setengah. Mungkin sahaja jauh lebih pantas daripada itu!

Faktor penyumbang “kejayaan” ini dimungkini oleh beberapa perkara.

Pertama, cerpen-cerpen yang disuguhi penulis bersifat domestik – sesuatu yang biasa kita dengar berlaku.

Kedua, jalan bahasanya mudah dan terkawal.

Ketiga, terdapat kepelbagaian isu yang diketengahkan dan tidak bertindan antara satu sama lain, jadi lebih seronok dibaca.

Keempat, ajakan untuk pembaca berfikiran kritis sederhana, dalam erti kata lain kita tidak perlu menggali antara ayat dan frasa untuk menggarap mesej yang ingin disampaikan penulis dalam setiap karyanya.

Cerpen Surat menyentuh tentang seseorang yang hampir terpedaya dengan surat loteri dari Eropah.

Rattus BowersII(*) karya ala CSI yang menceritakan penyiasatan SI Low terhadap kematian seorang warga emas di bilik mandi.

Lekeh pula membicarakan tentang dasar-dasar pemerintah dari kaca mata warga emas tempatan.

Kebuntuan yang Panjang memerihalkan masalah anak luar nikah yang bakal berumah tangga.

Aku, Isteri dan… merupakan satu kritik sosial terhadap golongan yang ingin jadi “orang dakwah” namun gagal memahami dan mempraktikkan inti asas perintah agama.

Seterusnya, Bagai Badak Berendam menegur kita tentang sikap enggan menyesuaikan diri dengan tuntutan masa dan keadaan tatkala kehilangan pekerjaan.

Nikmatilah cerpen-cerpen lain dari buku ini yang tidak kurang menariknya!

Ringkasnya, kumpulan cerpen ini amat baik untuk anda yang mahukan bahan bacaan yang sederhana berat untuk dihadam pembaca.

Seperkara yang turut nyata ialah pemilihan watak dan pembinaan perwatakan banyak berkisar tentang warga senja. Makanya, jika anda ingin menyelami pemikiran kumpulan usia ini, kumpulan cerpen ini menepati cita rasa anda, pastinya!

Tajuk: Dari Sebuah Kamar
Penulis: Sumadi Sarkawi
Penerbit: Singapura: Sumadi Sarkawi, 2020.
Nombor Panggilan: SING Malay SUM
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp//ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan