Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Burung Gagak Yang Bijak

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Burung Gagak Yang Bijak

(Gambar: NLB)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 27 Jun 2026 10:07PM
SINGAPURA: Sejarah merupakan suatu medan yang sarat dengan pelbagai teladan dan pengajaran buat manusia.

Malah seperti yang dikatakan oleh George Santayana, seorang ahli falsafah dari Sepanyol, “Mereka yang tidak belajar daripada sejarah dikutuk untuk mengulanginya.”

Namun bagaimanakah sejarah dapat disampaikan kepada anak-anak kecil dengan cara yang mudah untuk mereka fahami?

Salah satu caranya adalah dengan bercerita menerusi buku bergambar.

Buku bergambar “Burung Gagak Yang Bijak” menceritakan tentang dua ekor anak burung gagak yang sering bertengkar. Yang satu selalu merampas hasil tangkapan saudaranya. Yang satu lagi pula tidak suka berkongsi.

Pergaduhan yang berterusan mendorong ayah mereka, Sang Gagak, untuk menceritakan kepada kedua-dua anaknya itu secebis sejarah yang berlaku pada zaman Nabi Adam dengan tujuan memberi pengajaran untuk mereka. Ia merupakan kisah pertengkaran antara adik-beradik yang pertama dalam sejarah manusia yang seharusnya dijadikan teladan.

Ditulis oleh Razisatul Asyifah Ismail dan diilustrasi oleh Mohd Khairul Azman Ismail, karya ini merupakan sebahagian daripada siri buku cerita bergambar “Siri Burung Bercerita” yang diterbitkan oleh Grup Buku Karangkraf.

Sesuai untuk dibaca bersama dengan kanak-kanak prasekolah, ia merangkumi lima buku bergambar yang mengandungi kisah-kisah teladan berdasarkan sejarah Islam.

Sewaktu membaca bersama, kanak-kanak boleh diajak berbincang tentang apa yang mereka lihat berdasarkan ilustrasi pada setiap muka surat.

Contohnya, mereka boleh diajukan soalan tentang apa yang difikirkan atau dirasai oleh watak-watak dalam cerita. Atau bagaimanakah keadaan lingkungan masyarakat serta persekitaran pada zaman itu berbeza dengan zaman kita hari ini?

Memahami dan menginterpretasi ilustrasi daripada buku-buku bergambar dengan menggunakan bacaan dialogik sebegini merupakan sebahagian daripada latihan dalam pembinaan literasi visual kanak-kanak. Terutama sekali pada bentangan tengah buku (centrefold), di mana pembaca perlu meletakkan buku pada sudut menegak untuk melihat seluruh muka surat tersebut yang dipenuhi dengan ilustrasi tanpa sebarang teks.

Di sini, ibu bapa atau pendidik boleh mengajukan beberapa soalan berdasarkan apa yang dilihat. Misalnya, bagaimana dan berapa lamakah waktu yang diambil oleh seekor kambing untuk mendaki gunung setinggi itu?

Perbualan sebegini sewaktu membaca bersama amat penting untuk menggalakkan pemikiran kritis dalam diri anak-anak kita.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi mendapatkan buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Burung Gagak Yang Bijak
Penulis: Razisatul Asyifah Ismail
Penerbit: Selangor: Grup Buku Karangkraf, 2024
Nombor Panggilan: Junior Picture Book RAZ
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan Kanan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita