ePustaka: Buku ini ketengahkan watak lucu seperti Pak Pandir, Pak Kaduk & Lebai Malang
Sastera kanak-kanak bermula dengan cerita-cerita rakyat yang diwarisi dan dipetik daripada tradisi sastera lisan.

Gambar: NLB
BERITAmediacorp: Sastera kanak-kanak bermula dengan cerita-cerita rakyat yang diwarisi dan dipetik daripada tradisi sastera lisan.
Ini termasuk kisah-kisah lucu yang mengetengahkan watak-watak yang melucukan seperti Pak Pandir, Pak Kaduk dan Lebai Malang.
Cerita-cerita tersebut merupakan gambaran bercorak satira yang sarat dengan sindiran terhadap masyarakat.
Namun, unsur kelucuan yang diselitkan mencuit hati para pembaca dan pendengar, membuat genre sastera ini disukai ramai termasuk dalam kalangan kanak-kanak.
Buku bergambar Pertandingan Bercerita Paling Panjang Di Dunia karya Azalan Hussain dapat kita golongkan dalam genre sastera tersebut.
Diterbitkan pada tahun 2021 oleh Studio Anai Anai, ia mengisahkan tentang seorang Raja yang sangat suka mendengar cerita. Baginda lalu bertitah kepada rakyat jelata, barang siapa dapat bercerita kepadanya dengan sebuah cerita yang paling panjang di dunia, akan dikahwinkan dengan puteri raja.
Maka ramailah yang mencuba nasib, termasuk seorang pemuda bernama Mat Arip, protagonis kita dalam cerita ini.
Walaupun dinyatakan secara berseloroh oleh penulis di akhir buku bahawa beliau tidak menemukan sebarang moral dalam cerita ini, namun terdapat beberapa tema yang boleh dijadikan topik perbualan bersama anak-anak, misalnya melakukan sesuatu dengan cara kreatif dan bijaksana.
Ilustrasinya yang menarik serta mencuit hati juga boleh dijadikan sebagai bahan perbincangan, termasuk gambaran puteri raja yang agak berbeza berbanding bagaimana puteri-puteri lazim digambarkan dalam sastera kanak-kanak.
Sila lungsuri laman katalog NLB https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tajuk ini.
Tajuk: Pertandingan Bercerita Paling Panjang Di Dunia
Penulis: Azalan Hussain
Penerbit: Malaysia: Studio Anai-Anai, 2021.
Nombor Panggilan: J P AZA
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan, NLB
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.