Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Bukan Mimpi

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Bukan Mimpi

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 05 Jul 2025 12:14PM Dikemas Kini : 05 Jul 2025 12:34PM
SINGAPURA: Sejarah merupakan suatu wadah yang sentiasa penuh dengan pelbagai kisah dan peristiwa yang boleh kita cedok untuk dijadikan teladan dan pengajaran.

Jauh sekali daripada sesuatu yang jumud dan tetap, sejarah sentiasa hidup dan bergerak, selagi tidak dikuburkan dan tidak lenyap daripada kesedaran masyarakat.

Malah kewujudan sesuatu masyarakat itu sangat bergantung kepada kesedaran sejarah para ahlinya, terutama sekali generasi muda dan yang seterusnya.

Oleh itu penting untuk kita sentiasa berusaha membangunkan dalam diri anak-anak kita sikap peduli terhadap sejarah supaya mereka tidak akan berasa terasing dari bangsa dan tanah air sendiri. Salah satu caranya ialah menggunakan seni penceritaan melalui sastera, dengan harapan ia akan menjentik minat golongan muda terhadap sejarah.

Inilah yang dilakukan penulis Amanah Mustafi dalam karya beliau yang bertajuk “Bukan Mimpi”. Diterbitkan Ungu Pen, ia merupakan novel kanak-kanak beliau yang kedua, selepas “Yaya dan Kacang Hantu” (2023) yang diterbitkan oleh Pustaka Nasional. Walaupun kedua-duanya dapat kita golongkan dalam genre fiksyen sejarah, "Bukan Mimpi" agak berbeza sedikit dengan adanya elemen fiksyen sains, suatu ciri yang membuat alur ceritanya lebih menarik.

Menerusi penggunaan konsep perjalanan rentas masa, novel ini mengajak para pembaca mengikuti sang protagonis dalam pengembaraannya sewaktu beliau dicampakkan dari satu zaman ke zaman yang lain setiap kali beliau gagal mengawal amarahnya.

Melalui imaginasi penulis, pembaca berpeluang menyaksikan detik-detik penting dalam sejarah perkembangan Singapura, dari era kepayahan rakyat menempuhi zaman penjajahan Jepun, ke zaman yang penuh dengan ketidaktentuan selepas perpisahan dengan Malaysia, hinggalah ke era Revolusi Industri Kedua sewaktu Singapura mula pesat membangun.

Sepanjang penceritaan, pembaca menyaksikan perubahan sikap sang protagonis yang tidak berpunca daripada teguran mahupun didikan daripada golongan dewasa, melainkan sejarah yang ditempuhi beliau itu sendiri yang mendidiknya menjadi seorang yang mempunyai sifat berperikemanusiaan.

Penggunaan bahasa penulis yang amat baik dan mudah difahami, diiringi dengan ilustrasi yang menarik oleh Rizal Wahap, buku ini pasti disenangi para pembaca yang sukakan cerita yang mempunyai unsur fantasi serta bertemakan kekeluargaan dan persahabatan.

Selain itu, karya ini juga mengandungi tema-tema yang menyumbang kepada pengembangan pemikiran kanak-kanak terhadap isu-isu berkaitan kemiskinan serta pentingnya membela nasib mereka yang dalam kesusahan.

Melalui watak-watak dalam cerita, pembaca akan dapat mengaitkan kisah yang disampaikan dengan pengalaman mereka sendiri, lantas membina sikap kritis terhadap watak yang menganiaya, menanam sikap empati pula terhadap watak yang teraniaya, serta membangunkan kesedaran tentang keperibadian mereka sendiri.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi mendapatkan buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Bukan Mimpi
Penulis: Amanah Mustafi
Penerbit: Singapura: Ungu Pen, 2025
Nombor Panggilan: J SING AMA
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita