Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Budak Yang Pemarah

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Budak Yang Pemarah

Gambar hiasan buku Budak Yang Pemarah. (Gambar: NLB)

Diterbitkan : 07 Jun 2025 09:52PM Dikemas Kini : 07 Jun 2025 09:54PM

SINGAPURA: Buku bergambar bertajuk “Budak Yang Pemarah” menceritakan kisah lucu tentang seorang kanak-kanak perempuan bernama Marika yang kerap berasa marah. 

Dengan sokongan seluruh keluarganya, dia akhirnya belajar mengurus rasa marah dan menenangkan dirinya. Menerusi penceritaan yang menarik, buku ini mengetengahkan cara-cara kita dapat membantu kanak-kanak membangunkan kecerdasan emosi (EQ) dalam diri mereka. 

Pembangunan kecerdasan emosi bukan tanggungjawab para guru di sekolah sahaja. Malah, ibu bapa dan keluarga harus menggalas tanggungjawab yang sama. Ia suatu komitmen dan matlamat bersama yang dikongsi oleh setiap anggota keluarga. Inilah perkara yang ketara dalam jalan cerita buku ini. 

Setiap ahli keluarga Marika memerah otak untuk mengajarnya cara-cara berlainan untuk mengawal kemarahan yang membuak-buak supaya dia dapat menenangkan perasaannya. Daripada datuk, nenek dan adik lelakinya, semua berusaha untuk membantu Marika. Usaha mereka membuahkan hasil kerana Marika akhirnya belajar menguruskan emosinya setiap kali dia berasa marah.

Cara kanak-kanak berfikir berbeza daripada orang dewasa. Perkembangan kognitif mereka bermula dengan berfikir secara konkrit kerana mereka kurang memahami konsep yang abstrak. Kita dapat lihat bahawa cara-cara Marika menghilangkan rasa marahnya bersifat konkrit atau merupakan sesuatu yang dia boleh lihat dan sentuh. 

Maklumat yang diterima menerusi penglihatan dan sentuhan diproses oleh minda Marika dan membantunya memahami mengapa sikap pemarahnya itu sesuatu yang kurang elok. Contohnya, aktiviti melihat wajahnya di cermin menyedarkannya betapa bengis dan hodoh mukanya ketika dia sedang marah. Oleh kerana dia ingin kelihatan cantik dan manis, Marika mengawal rasa marah lalu menenangkan perasaannya. 

Menerusi jalan cerita ini, kita juga dapat melihat bahawa keluarga Marika tidak pernah sesekali membentaknya ketika dia sedang marah atau melenting. Ahli keluarganya memujuknya secara lembut dan sabar. Mereka mengajaknya melakukan aktiviti-aktiviti “grounding” untuk menangani kemarahannya. 

Contohnya, ibu Marika menyuruhnya mengira satu hingga sepuluh sambil melepaskan tenaga yang terpendam akibat kemarahannya. Pada akhir aktiviti itu, Marika kembali tenang.

Kesabaran keluarga Marika dalam membantunya mengurus emosi menunjukkan bahawa mereka sedar bahawa kanak-kanak akan belajar dengan lebih berkesan jikalau dibimbing dengan tenang menerusi cara-cara yang sesuai dengan tahap pemikiran kognitif mereka.

Ilustrasi dan teks dalam buku ini juga berkesan dalam menghidupkan suasana cerita. Contohnya, ekspresi muka Marika dilebih-lebihkan untuk menunjukkan rasa marah yang keterlaluan. Mulutnya terbuka besar sehingga dinampakkan anak tekaknya dan contengan puting beliung keluar dari telinganya. Suasana tegang pula digambarkan apabila ahli-ahli keluarga Marika selalu berada jauh dari Marika dan kelihatan takut dengan sikapnya yang pemarah. 

Pada usia yang kecil, kanak-kanak boleh dibimbing untuk membangunkan kecerdasan emosi (EQ) yang sihat dalam diri mereka. Pembangunan kecerdasan emosi sama penting dengan pembangunan kecerdasan intelek (IQ). 

Kecerdasan emosi yang sihat mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan kanak-kanak seperti kesihatan mental, kebolehan pembelajaran dan interaksi sosial. Justeru, buku bergambar seperti ini sangat penting untuk mendidik kanak-kanak tentang pengurusan emosi secara santai dan mudah difahami. 

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk Buku: Budak Yang Pemarah
Penulis: Rattana Kodchanat
Nombor Panggilan: J P KOD
Penerbit: Bangi, Selangor: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd., 2023.
Pengulas: Nur Fitri Muhammad Syafran, Pustakawan Kanan, NLB 

Sumber : BERITA Mediacorp/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita