Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Bidin Bikin Aiskrim Sambal

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Bidin Bikin Aiskrim Sambal
(Gambar: NLB)
Diterbitkan : 15 Mar 2026 09:31AM Dikemas Kini : 15 Mar 2026 09:39AM
SINGAPURA: “Bidin Bikin Aiskrim Sambal” karya Farihan Bahron merupakan sebuah buku cerita bergambar daripada siri “Bidin si Tukang Bikin”.

Cerita ini mampu membangkitkan keceriaan untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun serta ibu bapa yang ingin meluangkan masa membaca bersama mereka.

Jalan ceritanya yang ringkas tetapi mencuit hati ini mengajak pembaca cilik mengikuti telatah Bidin yang penuh rasa ingin tahu sambil “berkenalan” dengan dunia makanan Melayu yang kaya dengan rasa dan warna.

Kisah bermula apabila Bidin mengikut ibunya ke Pasar Geylang Serai, sebuah tempat yang sangat dekat dengan kehidupan masyarakat Melayu di Singapura. Gambaran suasana pasar yang meriah, disertai pengenalan kepada pelbagai makanan tradisional, memberikan sentuhan tempatan yang segar kepada cerita ini.

Latar ini bukan sahaja menarik perhatian pembaca muda, malah secara tidak langsung memperkenalkan mereka kepada makanan yang sering ditemui dan dinikmati dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu.

Di pasar itulah Bidin merasai sambal belacan buat kali pertama. Rasa pedasnya yang menyengat membuatkan lidah Bidin terasa seperti terbakar. Situasi ini mudah difahami oleh kanak-kanak, kerana ramai yang pernah terkejut apabila mencuba makanan baharu.

Namun, Bidin bukanlah seorang yang cepat mengalah. Walaupun pengalaman pertamanya agak menduga, rasa ingin tahunya mendorongnya mencari cara lain untuk menikmati sambal itu.

Daripada situlah lahir idea Bidin yang cukup luar biasa: menggabungkan sambal belacan dengan aiskrim vanila. Eksperimen yang kedengaran pelik ini membawa cerita ke arah yang lucu dan mengujakan.

Setelah beberapa percubaan, terciptalah gabungan rasa manis dan pedas yang unik. Lebih seronok dan bererti lagi apabila Bidin berkongsi ciptaannya dengan orang di sekelilingnya, sekali gus mengubah pengalaman pertamanya yang “pedas” menjadi sesuatu yang menggembirakan.

Melalui usahanya ini, Bidin akhirnya mula menghargai keistimewaan sambal belacan sebagai sebahagian daripada makanan tradisional.

Di sebalik kisah yang ringan dan mencuit hati, buku ini turut menggambarkan bagaimana kanak-kanak sering berdepan dengan sesuatu yang terasa baharu atau asing.

Apabila mereka diberikan ruang untuk mencuba dan meneroka dengan cara sendiri, pengalaman tersebut boleh membuka jalan kepada pemahaman dan penghargaan yang lebih mendalam tentang sesuatu usaha.

Dalam cerita ini, orang di sekeliling Bidin memberikan peluang kepadanya untuk bereksperimen, membiarkan rasa ingin tahunya berkembang secara semula jadi.

Ilustrasi berwarna yang ceria serta bahasa yang mudah diikuti menjadikan “Bidin Bikin Aiskrim Sambal” amat sesuai dijadikan bahan bacaan bersama anak-anak.

Kisahnya bukan sahaja mengundang tawa, malah membuka ruang untuk perbualan ringan tentang makanan, rasa ingin tahu dan pengalaman mencuba sesuatu yang baharu.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Bidin bikin aiskrim sambal
Penulis & Pelukis: Farihan Bahron
Nombor Panggilan: J SING FAR
Penerbit: Singapura: Unggun Creative, 2025
Pengulas: Nur Eliqah Ali, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita