ePustaka: Bermula Dari Sini: Kumpulan Cerpen Dua-Beradik
Anggaran Waktu Membaca:
(Gambar: NLB)
SINGAPURA: Tidak semua buku hadir sekadar untuk menghiburkan, ada yang sengaja ditulis untuk mengusik jiwa dan mencungkil persoalan yang mendalam.
Begitulah “Bermula Dari Sini: Kumpulan Cerpen Dua Beradik” yang menampilkan gabungan karya dua penulis bersaudara, Sumadi Sarkawi dan Ismail Sarkawi.
Koleksi cerpen ini menjadi wadah untuk menyingkap sisi kemanusiaan serta nilai-nilai yang dipegang masyarakat. Melalui pelbagai kisah ringkas dan watak, kedua-dua penulis berjaya mengetengahkan pemikiran serta konflik sosial dalam realiti kehidupan seharian.
Berdasarkan pengamatan mendalam terhadap kehidupan sekeliling, kedua-dua penulis ini mencipta watak-watak yang bukan semata-mata fiksyen, tetapi mewakili masyarakat yang kita kenali. Setiap watak yang dibentuk membawa ideologi dan pandangan hidup yang berbeza, membolehkan pembaca menyaksikan spektrum luas reaksi manusia terhadap konflik dan dilema moral.
Kehebatan mereka terletak pada kemampuan menyelami psikologi individu dalam masyarakat yang mengaku bertamadun dan beragama, namun masih terikat dengan nafsu dan kelemahan yang sangat manusiawi.
Strategi naratif yang digunakan oleh kedua-dua penulis menentang tradisi bercerita yang lazim digunakan, sekali gus mendorong pembaca menjadi peserta aktif dalam proses pemaknaan. Pendekatan ini bukan sahaja menghormati kecerdasan pembaca, malah mencerminkan realiti kehidupan yang jarang memberikan jawapan hitam putih.
Setiap pengakhiran yang terbuka menjadi undangan untuk pembaca merenung lebih mendalam nilai-nilai dan prinsip peribadi mereka sendiri.
Misalnya dalam karya-karya Ismail Sarkawi, penulisannya menunjukkan kepekaan terhadap isu-isu sosial yang kompleks. Kisah “Kekasihku Isteri Orang” yang bermula dengan klimaks cerita, mencabar andaian umum tentang identiti etnik dan agama, tanpa memberikan penghakiman yang jelas.
“Kepala Otak – Dolah” pula memaparkan pertemuan dua buah keluarga berkaitan penceraian, di mana setiap pihak membela anak masing-masing berdasarkan pemikiran dan kepentingan peribadi.
Perbezaan status ekonomi turut mempengaruhi dinamik perbincangan, namun sekali lagi, penulis tidak menunjukkan siapakah yang benar atau salah.
Cerpen-cerpen Sumadi pula lebih fokus kepada pemikiran manusia dalam situasi tertentu. Kesinisan penulis terhadap tingkah laku manusia dapat dirasai dalam “Aku Punya” yang mengkritik kecenderungan insan menilai seseorang berdasarkan penampilan sahaja.
“Aneh dan Ajai” pula menampilkan golongan yang sanggup tawar-menawar untuk makanan di pasar tetapi dengan mudah memberi tip tinggi di tempat yang lebih mewah.
Cerpen “Sembang Senggang” mungkin kritikan paling tajam penulis terhadap sesetengah golongan masyarakat. Ia mengisahkan perdebatan antara seorang Pak Haji yang sombong dengan pencapaian ibadah haji dan umrahnya dengan seorang jemaah muda. Ketika jemaah yang lebih muda meminta nasihat atau menanyakan soalan yang kritis, Pak Haji menjadi defensif dan berlindung di sebalik hak peribadi dan usia serta pengalaman hidup sebagai hujah terakhir untuk mengelakkan dirinya daripada dikritik.
Secara keseluruhannya, antologi ini menyajikan realiti kehidupan yang tidak selalunya selesa, namun perlu dihadapi. Kedua-dua penulis tidak takut untuk mengetengahkan sisi yang jarang dipersoalkan oleh masyarakat. Ia tidak memberi kepastian, sebaliknya menghulurkan ruang untuk kita menilai semula realiti dan mempersoalkan norma-norma yang sudah berakar umbi dalam kehidupan seharian.
Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.
Tajuk: Bermula Dari Sini: Kumpulan Cerpen Dua-Beradik
Penulis: Sumadi Sarkawi & Ismail Sarkawi
Penerbit: Singapura: Ismail Sarkawi, 2021.
Nombor Panggilan: SING Adult SUM
Pengulas: Nur Fatin Afiqah Halim, Pustakawan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/AW/az
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.