Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Bebaling

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Bebaling

(Gambar: NLB)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 13 Jun 2026 01:31PM
SINGAPURA: Alam remaja sering dipenuhi pelbagai persoalan, cabaran dan pengalaman yang membentuk jati diri seseorang.

Kumpulan cerpen “Bebaling” karya penulis Malaysia, Putraery Ussin, menghimpunkan 15 buah cerita yang mengangkat tema serta isu yang dekat dengan kehidupan golongan remaja, terutamanya pelajar sekolah menengah.

Ulasan ini akan menelusuri tiga tema utama yang diketengahkan menerusi tiga cerpen pilihan, iaitu “Bebaling”, “Mesin Cinta” dan “Hang Nadim”.

Golongan remaja mudah dipengaruhi persekitaran mereka. Oleh itu, mereka perlu dibimbing untuk memilih rakan yang baik.

Tema persahabatan menjadi antara tema utama yang merentas kebanyakan cerpen dalam buku ini.

Melalui cerpen “Bebaling” dan “Hang Nadim”, pembaca dapat melihat bagaimana sahabat sejati memberikan sokongan moral dan nasihat yang membantu mereka berdepan dengan cabaran.

Cerpen “Bebaling” menunjukkan bahawa persahabatan boleh terjalin antara individu yang berbeza kaum dan agama. Adib, seorang remaja Melayu, bersahabat baik dengan Andy yang berbangsa Cina. Andy melindungi Adib daripada pembuli dan sering memberikan kata-kata semangat kepadanya.

Ironinya, Adib tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Aziz, seorang remaja Melayu yang sering membulinya. Hal ini menunjukkan bahawa persamaan kaum tidak semestinya menjamin persefahaman, manakala perbezaan kaum pula bukan penghalang kepada persahabatan.

Selain itu, Andy yang mempunyai ketidakupayaan fizikal dan Adib yang sempurna anggota saling membantu antara satu sama lain. Mereka menjadi sumber kekuatan dan sokongan, sekali gus memperlihatkan makna persahabatan yang sebenar.

Selain persahabatan, cerpen “Bebaling” turut mengangkat tema kawalan emosi dalam kalangan remaja. Pada usia remaja sedang mencari identiti diri, mereka sering bertindak mengikut perasaan tanpa memikirkan akibatnya.

Adib, misalnya, terlibat dalam pergaduhan dengan Aziz setelah tidak lagi dapat menahan kemarahannya terhadap ejekan yang ditujukan kepada bapanya yang pernah membantu komunis pada masa lalu.

Namun demikian, selepas meluahkan perasaannya kepada Andy dan berasa lebih tenang, Adib menyedari bahawa tiada gunanya melayan seseorang yang enggan mengakui kesilapan diri. Sejak itu, dia memilih untuk tidak lagi melibatkan diri dengan perbuatan buli Aziz, tetapi tetap memohon maaf kerana telah mencederakannya.

Kisah ini mengingatkan pembaca tentang pentingnya mengawal emosi dan mempertimbangkan akibat sebelum melakukan sebarang tindakan. Pada masa yang sama, sikap Aziz juga menunjukkan bahawa perbuatan buli boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa dan tidak wajar dipandang ringan.

Satu lagi tema yang diketengahkan dalam buku ini ialah pengorbanan seorang ibu.

Pada usia remaja, seseorang mudah memberontak dan melihat sesuatu hanya dari sudut pandangan sendiri.

Dalam cerpen “Mesin Cinta”, Man berasa bosan dan marah kerana sering diminta membantu ibunya menguruskan tempahan jahitan serta membaiki mesin jahit yang kerap rosak. Dia menganggap bantuan yang diminta itu membebankan dan tidak penting.

Namun, pandangannya berubah apabila dia menyedari betapa banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibunya untuk menyara kehidupan mereka. Walaupun mengalami kecederaan pada kaki, ibunya tetap gigih mengambil tempahan jahitan dan menguruskan kerja rumah tanpa banyak merungut.

Tema yang sama turut dipaparkan dalam cerpen “Hang Nadim”. Hang Nadim dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang bekerja keras menjual makanan untuk menyara keluarga. Walaupun tidak mempunyai suami untuk bergantung harap, beliau tetap tabah memikul tanggungjawab membesarkan anaknya.

Melalui kedua-dua cerpen ini, pembaca dapat menghargai pengorbanan ibu yang sanggup berkorban masa, tenaga dan keselesaan diri demi memastikan anak-anak mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.

Melalui kisah-kisah yang dekat dengan kehidupan remaja, kumpulan cerpen ini mengangkat pelbagai nilai penting seperti persahabatan, kawalan emosi dan penghargaan terhadap pengorbanan ibu bapa.

Gaya penceritaannya yang ringkas tetapi menyentuh perasaan menjadikan naskhah ini bukan sahaja menghiburkan, malah sarat dengan pengajaran yang relevan untuk pembaca muda. Apatah lagi bagi remaja yang sedang mencari arah dalam kehidupan.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Bebaling
Penulis: Putraery Ussin
Nombor Panggilan: TEEN PUT
Penerbit: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2024
Pengulas: Nur Fitri Muhammad Syafran, Pustakawan Kanan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita