ePustaka: Ayahku Seorang Nelayan
SINGAPURA: Tiada yang lebih menyentuh hati daripada buku “Ayahku Seorang Nelayan” karya Zunda ini.
Buku ini mengisahkan dua pengaruh besar dalam kehidupan seorang kanak-kanak lelaki yang membesar di sebuah kampung tepi laut - seorang bapa dan laut.
Menerusi buku yang didominasi ilustrasi ini, Zunda berjaya menggambarkan dengan indah betapa kuatnya hubungan antara ayah dan anak, dan bagaimana laut menjadi simbol kekuatan dan harapan.
Ilustrasinya amat berkesan menyentuh emosi pembaca, sekali gus menghidupkan nilai moral dalam jalan cerita.
Dalam karya ini, kedua-dua ayah dan laut memainkan peranan sebagai penyedia. Laut menjadi sumber rezeki utama keluarga, sementara ayah bekerja keras sebagai nelayan untuk membawa pulang hasil tangkapan demi menyara kehidupan mereka.
Setiap hari, ayah memastikan segala keperluan anaknya disempurnakan termasuk tidur malam yang nyaman. Watak ayah merupakan seorang yang penyayang dan selalu berkongsi kisah-kisah peribadinya tentang laut dengan anaknya.
Keikhlasan dan pengorbanan ayah ini mencetuskan rasa kagum dalam hati anaknya. Melihat kesungguhan ayah menjaga keluarga, si anak membesar dengan cita-cita untuk mengikuti jejak langkah ayahnya menjadi seorang nelayan yang gagah dan berdedikasi.
Melalui karya ini, kanak-kanak bukan sahaja dapat mempelajari tentang kehidupan di kampung, malah mengenali keindahan dan keagungan alam semula jadi, terutamanya laut.
Laut, dengan segala kebesarannya, juga mempunyai sisi berbahaya yang kadangkala sukar diduga.
Ilustrasi dalam buku ini dengan jelas menggambarkan bagaimana laut boleh menjadi ganas dalam cuaca ribut termasuk meragut nyawa manusia. Namun, pada masa lain, ia tenang, pemberi sumber rezeki kepada ramai orang.
Selain itu, karya ini turut menonjolkan keindahan kehidupan yang sederhana di kampung.
Ilustrasi menggambarkan bagaimana penduduk kampung menjalin hubungan erat sesama mereka, saling bekerjasama dan membantu satu sama lain, baik di laut mahupun di darat, dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Menariknya, budaya harian para penduduk yang memasak tanpa menggunakan peralatan elektrik juga dirakamkan.
Dalam karya ini, penggunaan kata-kata dan teks sangat minimal. Zunda membiarkan ilustrasi memainkan peranan utama dalam menyampaikan jalan cerita. Terdapat beberapa halaman penuh dengan lukisan yang menggambarkan detik-detik penting. Ada juga ilustrasi yang disusun mengikut urutan kejadian yang berlaku.
Lukisan-lukisan ini memberi kesan mendalam terhadap emosi pembaca, dengan setiap perasaan watak-watak dalam cerita digambarkan dengan jelas melalui ekspresi wajah dan gerak tubuh mereka.
Ilustrasi yang luar biasa ini bukan sahaja memperkukuhkan pemahaman kanak-kanak tentang cerita ini tetapi juga memberi mereka peluang untuk menceritakan kisah ini dengan cara mereka sendiri, tanpa bergantung kepada teks.
Dengan cara ini, buku ini merangsang kreativiti dan kemahiran lisan kanak-kanak, membolehkan mereka "bercerita" menggunakan gambar yang “berbicara”.
Secara keseluruhannya, “Ayahku Seorang Nelayan” merupakan sebuah buku yang sangat sesuai untuk dibaca seisi keluarga. Kandungannya kaya dengan nilai kehidupan, penuh inspirasi, dan mampu menyentuh hati pembaca.
Buku ini mengingatkan kita tentang peranan penting yang dimainkan oleh seorang bapa dalam kehidupan anak-anak mereka, serta dalam masyarakat secara amnya.
Ia bukan sahaja mengangkat pengorbanan dan kasih sayang seorang ayah, tetapi juga mengajak kita untuk lebih menghargai nilai-nilai kesederhanaan, kecekalan, dan kerjasama dalam kehidupan seharian.
Sebuah karya yang pasti meninggalkan kesan mendalam kepada sesiapa sahaja yang membacanya.
Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.
Tajuk Buku: Ayahku Seorang Nelayan
Penulis: Zunda
Nombor Panggilan: J P ZUN
Penerbit: Hujan & Bumi, 2024
Pengulas: Nur Fitri Muhammad Syafran, Pustakawan Kanan, NLB
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.