Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Assalamualaikum Ustazah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Golongan pendidik seperti guru dan asatizah kaya pengalaman yang wajar dikongsikan dengan khalayak umum.

30 himpunan anekdot dan coretan ringkas tulisan 4 orang asatizah yang dipaparkan dalam buku ini mampu menyuntik peringatan tentang peranan para pendidik bukan sahaja terhadap para pelajar mereka bahkan, lebih utama, mencermin diri mereka dan kita sendiri.

Adakah seseorang tenaga pengajar yang senyap atau bersikap introvert tidak mempunyai prestasi kerja yang baik?

Coretan “Cikgu Senyap” oleh Ustazah Norliza menyangkal kenyataan ini dengan membuktikan menerusi kejayaannya merangkul anugerah cemerlang sebanyak dua kali.

Golongan introvert memiliki kekuatan tersendiri yang jika digilap dapat dijadikan “senjata” hebat sebagai pemikir dan penganalisis sesuatu situasi. Mereka dapat fokus kepada sesuatu tugasan kerana memiliki minda yang tajam, mampu menjana pelbagai idea dan huraian masalah yang kreatif serta inovatif.

Menerusi catatan Ustazah Nadhrah Husna dalam “Gara-gara Pertandingan”, beliau menegur waris pelajar agar berkomunikasi dengan para pendidik secara hormat dan bijaksana. Tanggungjawab dan sikap anak-anak mereka di sekolah perlu diambil tahu dan bukan menyelar tenaga pengajar apabila sesuatu yang tidak baik pada pandangan mereka berlaku.

Hargailah peluang yang diberikan kepada anak-anak mereka untuk mewakili sekolah dalam sesebuah pertandingan. Berikan kerjasama kepada para pendidik yang membimbing mereka dan bukan sebaliknya.

Menerusi kisah “Hadif Oh Hadif”, pendidik dan pembaca diingatkan untuk sentiasa mendoakan yang baik untuk anak didik atau anak-anak mereka. Ini berdasarkan perkongsian penulis tentang kisah seorang guru yang terkejut apabila mendapati wajah pelajarnya terpampang pada muka depan akhbar kerana akan dihukum gantung akibat melakukan pembunuhan.

Guru tersebut teringat semasa mengajar pelajarnya itu dahulu, beliau pernah terlepas cakap, “Mungkin selepas ini kamu akan jadi pembunuh.” Beliau berasa amat bersalah.

Sesungguhnya, pembaca perlu sedar bahawa kata-kata yang diucapkan atau doa yang dilafazkan kelak bukan sahaja menghukum pelajar atau anak sendiri, bahkan diri anda tidak terkecuali!

Nota hati ringkas Ustazah Ruby berjudul “Sepuluh Muka Surat” pula mengirimkan pesanan kepada pembaca bahawa ibu bapa, tanpa mengira latar kerjaya ialah cermin kepada anak-anak. Jika mahu anak atau pelajar (bagi guru) cemerlang dalam sesuatu perkara, golongan yang memimpin ini mesti menjadi teladan terbaik untuk mereka.

Contohnya, kelak menjadi kesulitan untuk anak-anak minat membaca jika ibu bapa sendiri malas melakukannya.

Kejayaan seseorang pelajar itu bukan semata-mata dinilai daripada kemenangan meraih piala. Peranan guru yang jauh lebih besar terhadap murid-murid adalah membina karakter kerana itulah yang menjadikan “siapa” mereka dalam apa pun keadaan.

Menjadi guru menuntut Ustazah Zaharoh memberikan kefahaman untuk apa, mengapa dan bagaimana kepada muridnya dalam menyempurnakan sesuatu usaha. Begitulah bingkisan mutiara dalam “Ustazah Main Dulu, Menang Tak?”

Nikmatilah kesemua coretan yang terhimpun dalam buku mudah dibaca ini bagi meraih pelbagai cebisan peringatan dan teguran tentang peranan pendidik kepada para pelajarnya yang boleh dimanfaatkan juga oleh golongan ibu bapa.

Walaupun latar cerita banyak yang tidak sama seperti di sini, namun pati manfaatnya masih boleh dihayati.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Assalamualaikum Ustazah
Penulis: Rabi'atul Adawiyah dll.
Penerbit: Kuala Lumpur : Rimbunan Publishing House, 2023.
Nombor Panggilan: Malay 808.882 RAB
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita