Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Apakah Itu?: Di Majlis Perkahwinan

Apakah yang melayakkan sesebuah buku tersenarai sebagai finalis Anugerah Buku Singapura 2026?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Apakah yang melayakkan sesebuah buku tersenarai sebagai finalis Anugerah Buku Singapura 2026?

Itulah persoalan yang mengusik fikiran pembaca. Cara terbaik untuk mendapatkan jawapannya adalah dengan menekuninya.

“Apakah Itu?: Di Majlis Perkahwinan” karya Fadhilah Muhamad merupakan salah satu finalis dalam kategori Buku Kanak-Kanak Melayu Terbaik anugerah tersebut.

Daripada kulit hinggalah ke muka surat akhir, buku ini dipenuhi ilustrasi dan pengisian yang mengasah ketajaman pengamatan dan deria kritis anak-anak menerusi pendekatan interaktif serta menghiburkan.

Ilustrasi dalam buku ini yang dihasilkan Tasya Nabiella menghidupkan warisan budaya perkahwinan masyarakat Melayu.

Menerusi sentuhan warna-warna yang pelbagai, setiap artifak dan makanan yang berkaitan dengan budaya yang diketengahkan penulis dimaknakan secara visual dengan jelas.

Salah satu contoh ialah ilustrasi kuih-muih tradisional yang dihidangkan kepada tetamu. Kuih puteri salat, lapis, dadar dan epok-epok mudah dikenal pasti cirinya kerana diwarnakan secara wajar.

Satu lagi kekuatan buku ini ialah paparan ilustrasi tanpa teks bagi mengetengahkan beberapa aspek budaya majlis perkahwinan.

Contohnya, cara keluarga pengantin berpakaian, sedondon dengan warna busana pengantin. Begitu juga adat menghalang pengantin lelaki untuk bertemu pasangannya oleh pihak pengantin perempuan. Bahan sebegini menjadi antara peluang pencetus perbincangan dengan anak-anak tentang budaya masyarakat Melayu.

Cara penulis memperkenalkan kepada anak-anak pelbagai perkara yang terdapat semasa majlis perkahwinan secara tersusun memudahkan mereka memahami kandungan buku ini. Ia dimulakan dengan jamuan makanan kepada tetamu termasuk lauk-pauk dan kuih-muih yang dihidangkan.

Ini diikuti dengan pemberian bunga telur, fungsi pelamin, acara perarakan pengantin, memerihalkan busana mempelai, persembahan silat pengantin, hiasan bunga manggar, sirih junjung dan menginai tangan pengantin.

Kelebihan buku ini juga terletak pada ciri interaktifnya. Para pembaca terlibat langsung dalam aktiviti seperti mengira, membandingkan bilangan, pemadanan objek, melukis dan mencari laluan dalam permainan pagar sesat sepanjang penceritaan.

Terdapat juga usaha untuk menggalakkan anak-anak memikirkan tentang tindakan negatif watak tertentu dalam karya, sekali gus membuat mereka merenung tentang tabiat baik dan buruk ketika menghadiri sesuatu majlis keramaian.

Enam soalan rangsangan disediakan di bahagian akhir naskhah ini bagi membantu ibu bapa, pengasuh dan guru mengajukannya kepada para pembaca cilik untuk perbincangan lanjut tentang cerita yang baru dibaca.

Bagi tujuan pengayaan dan pengukuhan kosa kata pula, disediakan juga enam belas frasa yang digunakan dalam cerita.

Antaranya bufet, kompang, songket, samping, tanjak, sanggul dan silat.

Golongan dewasa yang kreatif boleh menghasilkan beberapa permainan daripada himpunan frasa ini.

Anak-anak pasti dapat mengaitkan diri mereka dengan kandungan buku ini. Kehadiran watak Ahnaf yang sering bertanya ibu bapanya tentang beberapa aspek majlis perkahwinan merupakan cerminan diri pembaca cilik. Bahkan golongan dewasa juga diusik dengan unsur-unsur nostalgia majlis sebegini.

Ringkasnya, “Apakah Itu?: Di Majlis Perkahwinan” meneruskan legasi siri buku “Apakah Itu?” sebelum ini yang sarat maklumat, interaktif dan mendorong pembaca untuk lebih peka dan prihatin terhadap persekitaran yang memperkayakan kehidupan.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Apakah Itu?: Di Majlis Perkahwinan
Nombor Panggilan: Junior Singapore FAD
Penerbit: Singapura: Poppet, 2025.
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita