Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Apa Oyen Buat Apabila Nenek Sudah Tiada

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Apa Oyen Buat Apabila Nenek Sudah Tiada

Buku bertajuk 'Apa Oyen Buat Apabila Nenek Sudah Tiada'. (Gambar: NLB)

Diterbitkan : 12 Sep 2026 08:03PM
  • Buku 'Apa Oyen Buat Apabila Nenek Sudah Tiada' karya Razisatul Asyifah Ismail dan Mohd Khairul Azman Ismail membantu kanak-kanak memahami kematian melalui kisah Oyen, seekor kucing yang kehilangan neneknya.
  • Buku ini sebahagian daripada 'Siri Si Kecil Kuat' dan menawarkan panduan kepada ibu bapa untuk berbincang isu sukar seperti kematian, buli dan perceraian dengan anak-anak.
  • Penceritaan menggunakan bahasa mudah, ilustrasi comel, serta panduan dan penjelasan yang disemak oleh Dr Rozanizam Zakaria untuk menyokong kesejahteraan emosi kanak-kanak.
  • Buku diterbitkan pada tahun 2025 oleh Little Iman Books dan boleh dipinjam di perpustakaan NLB Singapura, sesuai dibaca bersama keluarga untuk memahami dan menghadapi kesedihan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Buku bergambar ini mengajak pembaca kecil memahami satu perkara yang sukar dibicarakan, iaitu menghadapi kematian orang tersayang.

Karya yang dihasilkan oleh pasangan suami isteri ini merupakan sebahagian daripada “Siri Si Kecil Kuat”, yang membantu ibu bapa membincangkan isu sukar seperti kematian, buli dan perceraian dengan anak-anak. Dalam buku ini, persoalan berat ini didekati dengan cara yang lembut, jujur dan mudah difahami.

Siri seperti ini amat dialu-alukan kerana isu kesejahteraan emosi kanak-kanak masih kurang diteroka dalam buku kanak-kanak berbahasa Melayu.

Watak utamanya, Oyen, ialah seekor kucing jingga yang ceria dan rapat dengan Atok serta Nenek. Atok menjadi teman bermainnya, manakala Nenek sentiasa menemani hari-harinya.

Apabila Nenek semakin letih dan banyak berehat, pembaca kecil dibawa perlahan-lahan menghadapi perubahan besar dalam kehidupan Oyen. Apabila Nenek “tidur” terlalu lama dan tidak bangun, Oyen mula bertanya: “Nenek pergi ke mana?” dan “Bolehkah Oyen ikut Nenek?”

Soalan Oyen seperti “Nenek pergi ke mana?” ialah soalan yang mungkin ditanyakan oleh kanak-kanak apabila berdepan suatu kehilangan. Atok cuba menjawab dengan perbandingan mudah. Kematian diterangkan sebagai satu perjalanan ke tempat lain, seperti menaiki bas.

Cerita ini turut menyentuh kepercayaan bahawa Nenek telah pergi ke alam selepas mati, sementara Oyen dan Atok akan menyusul pada waktunya dengan membawa amalan baik.

Unsur keagamaan hadir secara halus tanpa menghuraikan konsep syurga secara mendalam. Pada masa yang sama, pembaca dewasa dapat melihat bahawa Atok juga sedang berduka sambil berusaha menjelaskan kehilangan kepada cucunya.

Kekuatan buku ini terletak pada panduan kecil yang diselitkan pada halaman-halamannya. Penerangan maksud-maksud perkataan susah dan cadangan “apa nak buat” membantu ibu bapa memilih kata-kata, mengajak anak meluahkan perasaan dan meneruskan perbualan selepas membaca kisah ini.

Pada bahagian akhir buku, terdapat panduan yang menerangkan tahap kefahaman kanak-kanak tentang kematian berdasarkan umur dan perkembangan kognitif mereka.

Maklumat yang disemak oleh Dr Rozanizam Zakaria, pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja, menjadikan buku ini lebih meyakinkan sebagai bahan sokongan keluarga.

Ilustrasi haiwan yang comel dan mesra membantu “meringankan” penceritaan, sambil tetap memberi ruang kesedihan Oyen dan Atok diluahkan.

Pengakhirannya mungkin tidak seindah cerita dongeng, tetapi ia menunjukkan bahawa kehilangan adalah sebahagian daripada kehidupan.

Merasai kesedihan suatu tumpahan perasaan yang tidak boleh ditatang. Sapaan kerinduan dan bertanya tentang insan yang telah pergi juga jangan dihalang.

Lebih daripada sekadar bahan bacaan kanak-kanak, buku ini sesuai dibaca bersama ibu bapa sebagai pembuka ruang untuk berbincang, memahami dan menghadapi kesedihan bersama-sama.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Apa Oyen Buat Apabila Nenek Sudah Tiada: Sebuah panduan untuk si kecil yang melalui situasi kematian
Penulis/Pelukis: Razisatul Asyifah Ismail/Mohd Khairul Azman Ismail
Nombor Panggilan: RAZ (Koleksi Literasi Awal 4-6 tahun)
Penerbit: Kajang, Selangor: Little Iman Books, 2025
Pengulas: Nur Eliqah Ali, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita