Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: “Andai Aku Tahu: Ibu Ayah… Bimbinglah Aku”

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buku “Andai Aku Tahu: Ibu Ayah… Bimbinglah Aku” ini mengetengahkan tema yang dekat dengan realiti semasa, iaitu hubungan antara ibu bapa dan anak remaja.

Menerusi nada empati, ia menyelami pergolakan emosi remaja yang sering terperangkap antara keinginan untuk hidup bebas dan keperluan kasih sayang serta perhatian keluarga.

Buku ini memberikan tumpuan kepada pengurusan hubungan antara ibu bapa dan remaja, satu topik yang masih kurang diketengahkan dalam bahan bacaan berbahasa Melayu.

Lazimnya, perbincangan perihal keibubapaan tertumpu kepada kanak-kanak, sedangkan cabaran membimbing remaja tidak kurang kompleks dan memerlukan pendekatan yang berbeza.

Pembahagian kandungannya kepada dua bahagian utama - “Keluargaku” dan “Lingkaran Sosial” – menyerlahkan kepentingan kedua-dua aspek ini sebagai tunjang kepada perkembangan emosi dan sosial remaja.

Setiap bab dimulakan dengan anekdot yang akrab dengan kehidupan seharian, diikuti kupasan setiap topik daripada perspektif remaja dan ibu bapa.

Pendekatan ini membolehkan pembaca memahami kedua-dua sudut pandangan. Tambahan lagi, disertakan sekali saranan praktikal yang boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa.

Salah satu kekuatan utama buku ini ialah keupayaannya menggambarkan pergolakan dalaman remaja secara jujur.

Contohnya, dalam bab “Ibu Bapa Borek, Anak Rintik”, penulis memperlihatkan bagaimana penggunaan bahasa kasar dalam komunikasi keluarga boleh menyemai tingkah laku negatif terhadap diri anak.

Konflik antara adik-beradik yang berpunca daripada kata-kata menyakitkan hati sebenarnya berakar daripada contoh yang ditunjukkan oleh ibu bapa. Melalui situasi sebegini, jelas bahawa remaja ialah pemerhati yang mudah terpengaruh dan cenderung meniru persekitaran mereka.

Walaupun naskhah ini sarat dengan kisah dan panduan praktikal, kandungannya boleh diperbaiki dengan sokongan daripada rujukan penyelidikan atau data bagi mengukuhkan hujah yang dikemukakan.

Bahkan, perbincangan tentang pengaruh media sosial disentuh secara ringkas, sedangkan peranannya semakin besar dalam membentuk pemikiran dan tingkah laku remaja masa kini.

Secara keseluruhannya, buku ini menawarkan sumber bacaan permulaan yang baik bagi ibu bapa yang ingin memahami dunia remaja. Ia membuka ruang renungan dan perbincangan yang bermakna dalam keluarga.

Namun, pembaca digalakkan untuk menambah bekalan pengetahuan lanjutan dengan menekuni bahan bacaan lain seperti “Psikologi Si Remaja” karya Dr Rozanizam Zakaria dan Dr Anayasmin Azmi.

Buku ini memberikan pendekatan lebih menyeluruh dalam membimbing remaja membina peribadi terpuji.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku-buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: “Andai Aku Tahu: Ibu Ayah… Bimbinglah Aku”
Penulis: Anisah baharom, Nor Afiah Mohd Zulkefli dan Firdaus Mukhtar
Nombor Panggilan: 649.125 ANI [FAM]
Penerbit: Kajang, Selangor: Aras Mega (M) Sdn. Bhd., 2023
Pengulas: Nur Eliqah Ali, Pustakawan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita