ePustaka: ‘Anak Pintar Gemar Menabung’ tekan pentingnya tabiat berhemat

BERITAmediacorp: Buku ‘Anak Pintar Gemar Menabung’ sesuai dimanfaatkan para ibu bapa yang ingin mendapatkan panduan mendidik anak-anak tentang amalan menabung dan berjimat cermat.
Watak utama kisah ini, Son Dae Bak, pada mulanya berniat untuk menguruskan wang simpanannya secara kendiri.
Namun, keinginannya yang kerap ingin membeli berbagai-bagai mainan dan snek mengakibatkan beliau boros berbelanja.
Kesukarannya mengawal sikap ini berpunca daripada dirinya yang belum mengetahui tentang cara-cara untuk berjimat dan menabung.
Pembaca kanak-kanak pasti dapat mengaitkan diri dan pengalaman mereka dengan Dae Bak, sekali gus, merangsang mereka untuk terus membaca kisah berunsur humor ini.
Buku yang sesuai untuk kanak-kanak berumur 7 tahun ke atas ini turut memuatkan ilustrasi menarik. Pendekatan sebegini membantu mereka lebih memahami kandungan cerita dan konsep-konsep kewangan dengan lebih jelas lagi.
Buku bercirikan bantu diri ini juga menyediakan senarai semakan untuk kanak-kanak menilai tahap kebijaksanaan mereka menguruskan wang. Mereka diajar untuk membuat buku catatan kewangan sendiri agar dapat mengawasi pengaliran keluar dan masuk wang secara teratur.
Ibu bapa disarankan untuk membaca buku ini bersama anak-anak mereka.
Seterusnya, ia harus disusuli dengan perbincangan tentang nilai wang, tindakan dan pelaksanaan perancangan kewangan.
Lungsuri laman katalog, https://catalogue.nlb.gov.sg, untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan awam NLB.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.