Skip to main content

Nadi Kampus

ePustaka: Amir Cari Hobi

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka:  Amir Cari Hobi

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 27 Sep 2025 12:49PM Dikemas Kini : 27 Sep 2025 12:55PM
SINGAPURA: Hobi merupakan suatu perkara yang amat penting yang membantu pembangunan akal dan jiwa yang sihat.

Terutama sekali untuk kanak-kanak, mempunyai hobi bukan hanya dapat mengurangkan tekanan disebabkan rutin harian seperti persekolahan, ia juga memupuk kreativiti serta meningkatkan kemahiran kognitif.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, hobi didefinisikan sebagai suatu kegemaran yang diamalkan pada waktu lapang dan bukan suatu pekerjaan utama. Namun, dalam persekitaran yang mengutamakan pekerjaan dan waktu lapang dianggap suatu “kemewahan”, tambahan pula dengan peralihan perhatian kanak-kanak kepada pelbagai alat peranti, adakah hobi telah diketepikan dan kepentingannya berkurangan?

Buku bergambar “Amir Cari Hobi” menceritakan tentang seorang kanak-kanak lelaki bernama Amir yang baru memulakan pendidikan di sekolah rendah.

Amir telah diberikan tugasan hujung minggu oleh gurunya untuk berkongsi tentang hobinya. Namun, Amir tidak pernah terfikir akan perkara tersebut, lalu beliau mula memerhatikan segala kegiatan yang dilakukan setiap ahli keluarganya semasa waktu lapang, dan akhirnya menyedari akan hobinya sendiri.

Ditulis oleh Sanesa Salleh, “Amir Cari Hobi” merupakan sebahagian daripada siri buku cerita bergambar “Siri Pengkarya Singapura” yang diterbitkan Alam Cahaya dan disokong Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew.

Sesuai untuk dibaca bersama kanak-kanak prasekolah, siri ini merangkumi enam buku bergambar yang ditulis oleh sekumpulan pendidik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Buku-buku yang dihasilkan mengandungi kisah-kisah bertemakan budaya, permainan tradisi, hobi, serta tempat-tempat menarik di Singapura.

Sewaktu membaca bersama, kanak-kanak boleh diajak berbincang tentang apa yang difikirkan atau dirasai oleh watak-watak di kulit buku serta pada setiap muka surat.

Memahami dan menginterpretasi ilustrasi dari buku-buku bergambar akan membantu dalam pembinaan literasi visual mereka.

Selain itu, ibu bapa serta pendidik juga boleh merujuk kepada muka surat akhir buku ini sebagai panduan untuk berkongsi dengan anak-anak tentang pelbagai jenis hobi yang boleh mereka terokai, serta faedah mempunyai hobi.

Beberapa soalan juga boleh diajukan sewaktu dan selepas membaca. Misalnya, sebagai latihan memecah stereotaip jantina, ibu bapa boleh bertanyakan kepada anak-anak jika hobi seperti menjahit, membaca dan membuat kek hanya boleh dilakukan oleh golongan perempuan, manakala hobi seperti bermain bola sepak hanya boleh dilakukan oleh golongan lelaki sahaja.

Perbualan sebegini sewaktu membaca bersama amat penting untuk menggalakkan pemikiran kritis dalam diri anak-anak kita.

Lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi meminjam buku ini di perpustakaan NLB.

Tajuk: Amir Cari Hobi
Penulis: Sanesa Salleh
Penerbit: Singapura: Alam Cahaya, 2025
Nombor Panggilan: J SING SAN
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan Kanan, NLB
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita